This picture taken on August 3, 2016, shows the screen of a smartphone displaying the Pokemon Go app in Brussels. / AFP PHOTO / Belga / NICOLAS MAETERLINCK / Belgium OUT
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang tidak membenarkan umat Islam membabitkan diri dengan aplikasi permainan Pokemon Go atas pelbagai faktor termasuk membawa kepada kemudaratan.

Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha berkata, keputusan itu selari dengan pandangan hukum negara Islam lain yang membuktikan permainan Pokemon Go menjadi penyebab insiden membahayakan sehingga meragut nyawa.

Menurutnya, permainan itu nyata mendatangkan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

"Justeru, JAKIM menyeru umat Islam di negara ini menghindarkan diri daripada permainan Pokemon Go ini.

"Saranan ini selaras dengan kaedah syarak Saddu Al-Zara'i di mana kita perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan berbincang dan memutuskan permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas, faktor maslahah dan kemudaratan yang berlaku.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya berkata, selepas meneliti pendapat ulama dan fatwa yang dikeluarkan, pihaknya berpendapat fatwa dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 1:10 PM