BERNAMA

Jakarta: Seorang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Kuala Namu di Medan, Sumatera Utara, petang semalam, kerana membawa 1,025 gram dadah sintetik dalam poket seluarnya.

Media tempatan hari ini memetik Ketua Polis Daerah Deliserdang Robert Da Costa berkata, lelaki berusia 27 tahun berasal dari Pulau Pinang itu tiba dengan menaiki pesawat tambang rendah dari negeri itu.

Katanya, pasukan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Kuala Namu mengesyaki sesuatu apabila lelaki terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan untuk melepasi bahagian pemeriksaan.

Beliau berkata selepas membuat pemeriksaan tubuh, mereka menemui 10 paket dadah yang dibungkus dalam sarung kaki dan disembunyikan dalam poket seluar nya.

“Dadah itu dipercayai jenis methampetamine seberat 1,025 gram dan lelaki itu dipercayai membawa dadah berkenaan untuk dijual kepada seseorang di sebuah hotel di Kota Medan,” katanya.

Indonesia melaksanakan hukuman mati dengan ditembak bagi kesalahan mengedar dadah dan Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini, mengisytiharkan Indonesia sebagai darurat dadah dan mengarahkan pihak berkuasa lebih agresif memerangi dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 3:09 PM