Anggota bomba mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kereta dinaiki tiga beranak. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kereta dinaiki tiga beranak. FOTO ihsan bomba
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: Tiga beranak berdepan detik mencemaskan selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadiaan ribut di Kampung Chap, Meranti, di sini kira-kira 9.50 malam tadi.

Mangsa iaitu suami isteri berusia 40-an dan anak mereka berusia tujuh tahun bagaimanapun tidak cedera dan dibantu orang awam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Adnan Md Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.58 malam dan segera ke tempat kejadian bersama enam anggota.

"Sebaik tiba, kami dapati dua pokok tumbang merentasi jalan dan menghempap bahagian hadapan kereta dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan ke arah Pasir Mas dari Tumpat.

"Mereka tidak cedera dan dibantu orang awam.

"Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut diminta untuk menutup bekalan elektrik seketika bagi membolehkan kerja pemotongan dan pengalihan pokok dijalankan," katanya di sini, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada 11.10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 2:44 PM