KUMPULAN Marbahan Nur Iman menerima sambutan baik.
KUMPULAN Marbahan Nur Iman menerima sambutan baik.
Mohd Amin Jalil


Sudah menjadi lumrah bagi setengah penduduk kampung atau taman perumahan menggerakkan budaya marhaban ketika Syawal sebagai suatu daripada aktiviti merapatkan lagi hubungan silaturahim.

Malah, aktiviti marhaban adalah suatu tradisi umat Islam dalam menyambut perayaan Aidilfitri itu melalui kunjungan secara rombongan dari rumah ke rumah dengan mengiramakan puji-pujian terhadap kebesaran Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, aktiviti marhaban lebih dirasakan di kawasan kampung berbanding taman perumahan kawasan bandar, malah ia selalunya disertai golongan dewasa.

Kumpulan Marhaban Nur Iman Taman Seremban Jaya Seremban Negeri Sembilan antara yang paling aktif kerana sering kali menerima jemputan daripada penduduk taman itu selain pihak luar.

Menurut Ketua kumpulan itu Jamilah Dahlan, 55, kumpulan itu ditubuhkan pada awal 2014 kini dianggotai 60 ahli dari kalangan penduduk taman berkenaan.

Katanya, selain merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk taman, tujuan penubuhannya untuk menghidupkan budaya itu dalam kalangan masyarakat dan memberikan pendedahan kepada golongan muda.

“Kita tahu aktiviti marhaban kian dilupakan di sesetengah tempat terutama di kawasan bandar kerana kesukaran mengumpulkan peserta selain kesibukan dan komitmen masing-masing.

“Malah, aktiviti marhaban hanya dilihat aktif pada musim perayaan Aidilfitri manakala pada hari biasa, sukar untuk menyaksikan kumpulan seperti ini membuat persembahan.

“Justeru, usaha menghidupkan kembali aktiviti marhaban perlu bagi memastikan budaya baik ini terus bersemarak dalam masyarakat pada masa akan datang,” katanya.

Penubuhan kumpulan Marhaban Nur Iman menerima sambutan baik penduduk taman itu apabila sering kali menerima jemputan dalam majlis keramaian seperti pertunangan, perkahwinan dan aqiqah selain rumah terbuka Aidilfitri.

Sebelum sesuatu persembahan atau jemputan diterima, pihaknya mengadakan latihan terlebih dulu bagi mengulangi bacaan supaya ketika persembahan tidak terjejas dan bacaan menjadi lancar.

Katanya, sepanjang Aidilfitri lalu, kumpulan berkenaan menerima banyak jemputan dan kadangkala tidak cukup masa kerana ahli juga mempunyai komitmen lain termasuk terhadap keluarga dan kerjaya.

“Bagaimanapun, komitmen mereka membuatkan Kumpulan Marhaban Nur Iman terus kukuh dan bergerak cergas. Sedaya upaya kami cuba memenuhi semua jemputan supaya tidak mengecewakan penganjur majlis,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Taman Seremban Jaya, Mohd Ismail Leman berkata, aktiviti marhaban ini sedikit sebanyak mengukuhkan silaturahim sesama penduduk dan menjadi simbol kekuatan ummah serta tanda kesatuan masyarakat.

Menurutnya, jika tidak ada budaya marhaban ini, sukar bagi jiran tetangga berziarah sesama sendiri disebabkan kesibukan kerja atau menguruskan hal keluarga masing-masing.

“Kadangkala mereka hanya sekadar bertegur sapa ketika berselisih di waktu keluar atau pulang dari tempat kerja.

“Melalui budaya marhaban ini, kita dapat memperbaiki kesilapan masing-masing dengan memohon kemaafan kepada tuan rumah dan ahli keluarganya,” katanya.

Katanya, pihaknya memberikan sokongan padu kepada Kumpulan Marhaban Nur Iman yang membantu menaikkan imej taman itu selain memberi contoh yang baik kepada golongan muda.

“Saya berharap kumpulan ini dapat terus kekal dengan aktiviti marhaban dan membimbing golongan muda menyertainya supaya kegiatan ini ada kesinambungan untuk masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 12:53 PM