Biarpun baru berusia 22 tahun, Shkodran Mustafi (gambar) mempunyai pengalaman luas di kancah domestik mahu pun antarabangsa. Berketurunan Albania namun dilahirkan di Jerman, Mustafi berusia 17 tahun ketika meninggalkan Hamburg untuk menyertai akademi remaja di Everton, England.

Mustafi mewakili Jerman untuk skuad bawah 16 tahun sebelum mewakili pasukan senior Februari lalu, dan beraksi di pentas Piala Dunia, berikutan kecederaan Marco Reus hingga akhirnya menjulang gelaran agung itu. Ikuti wawancara bersama pemain muda ini.

SOALAN (S): Bagaimana anda menyesuaikan diri dengan kelab baru, Valencia?

JAWAPAN (J): Semuanya berjalan lancar ketika ini. Pada permulaannya ia bukan mudah kerana saya dalam proses pemulihan selepas Piala Dunia tetapi, semuanya semakin baik kini. Saya sudah dapat membiasakan diri dan gembira berada di sini.

S: Banyak yang berlaku kepada anda sepanjang 2014. Bagaimana anda menilainya?

J: Setiap kali saya memikirkan apa yang berlaku, saya menyedari banyak yang saya alami sepanjang tempoh setahun ini berbanding ramai pemain sepanjang tempoh beberapa tahun dalam karier mereka. Dalam hal saya, satu demi satu perkara berlaku. Tahun yang sukar dipercayai, penuh dengan kejayaan luar biasa. Saya semakin matang sebagai seorang lelaki dan pemain bola sepak, justeru pencapaian tahun ini sukar ditandingi.

S: Adakah anda perasan perubahan dalam diri?

J: Pengalaman dan gelaran yang saya miliki tahun ini sudah tentu mengubah diri, memandangkan anda menerima tumpuan media dan orang ramai secara mendadak. Semua orang mahu menghampiri anda dan saya perlu belajar menanganinya. Ia juga membantu saya menjadi lebih matang.

S: Berapa lama masa yang diambil untuk anda menerima hakikat mengenai kejuaraan Piala Dunia dan perpindahan ke Valencia?

J: Saya fikir saya masih memerlukan masa. Banyak perkara berlaku dalam tempoh yang begitu singkat dan saya tidak mempunyai masa untuk memikirkannya. Satu demi satu perkara berlaku dan semuanya begitu pantas. Saya berehat selama dua minggu dan pada masa sama perlu memikirkan masa depan. Saya masih pemain Sampdoria ketika itu dan banyak perkara yang perlu saya tumpukan perhatian, sukar untuk saya menerima sepenuhnya.

Kemudian saya perlu tumpukan terhadap perlawanan saban minggu di sini dan perlu lupakan seketika kejayaan Piala Dunia dan fokus dengan tugas sebagai pemain Valencia. Saya rasa ia mengambil masa selepas apa yang berlaku di Brazil.

S: Tentu sekali anda menantikan cuti Krismas, apabila anda mempunyai masa untuk memikirkan perkara lain?

J: Saya akan pulang ke rumah, menghabiskan masa bersama keluarga dan melakukan perkara lain. Saya fikir, itulah yang terbaik bagi saya dan amat memerlukannya. Ia amat penting bagi saya.

S: Jika anda boleh memilih dua detik penting sepanjang tahun ini, apakah perkara itu?

J: Piala Dunia pastinya menjadi nombor satu dan yang kedua, sering menjadi kesebelasan utama di Sampdoria. Sewaktu Sinisa Mihajlovic mengambil alih kejurulatihan pasukan, saya diberi peluang untuk beraksi di Sampdoria, seterusnya membolehkan saya menyertai pasukan kebangsaan.

S:Detik Piala Dunia yang manakah memberi impak besar terhadap anda? Diturunkan ketika menentang Portugal dan Ghana, menjadi kesebelasan utama menentang Algeria atau sewaktu penyampaian trofi?

J: Detik paling hebat adalah ketika trofi disampaikan kepada saya dan saya menjulangnya. Saya melalui pelbagai emosi yang sukar digambarkan ketika itu, dan memerlukan masa sebelum benar-benar dapat menerimanya. Ia bukan satu-satunya detik menakjubkan: penampilan pertama sebagai pemain gantian dan kali pertama sebagai kesebelasan utama juga satu pengalaman menarik . Ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan, tetapi tiada apa yang boleh dibandingkan dengan saat saya menjulang trofi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:04 AM