CRK kembali bergabung mengadakan persembahan di Pesta Pulau Pinang.
CRK kembali bergabung mengadakan persembahan di Pesta Pulau Pinang.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Dalam perbualan sebelum ini, Mohd Eddie Ghazali, 45, pernah melahirkan hasrat untuk kembali aktif bersama kumpulan CRK yang popular dengan lagu Cinta Dan Airmata pada era kegemilangan muzik rock tanah air.

CRK yang dianggotai oleh Kamal (penyanyi), Syam (gitar), Eddie (bass), Shamrani (keyboard) dan Ujang (dram) ketika itu tampil dengan dua album iaitu Anugerah (1991) dan Airmata Cinta (1992).

Populariti mereka menyerlah apabila lagu Cinta Dan Airmata daripada album kedua menjadi siulan ramai sekali gus meletakkan mereka antara kumpulan yang mempunyai ramai peminat.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, kumpulan yang sering menyaksikan pertukaran anggota ini terpaksa dibubarkan pada awal 1996 kerana masalah tertentu.

"Tak dinafikan populariti lagu Cinta Dan Airmata sangat kuat membuatkan kami dikenali ramai. Malah lagu ini masih menjadi siulan ramai dan sering diputarkan di radio meskipun ia sudah mencecah 20 tahun dihasilkan.

"Biarpun kami sudah berpecah, saya masih aktif bermain muzik dengan pelbagai kumpulan antaranya Thunderstorm dan sekarang bersama band Grovers yang memainkan muzik retro.

"Anggota CRK lain juga masih aktif bermain muzik di kelab dan hotel sekitar Kuala Lumpur. Hanya Kamal yang berniaga di Pulau Pinang, tapi sebelah malamnya masih menyanyi di kelab," katanya.

Eddie berkata, anggota CRK masih berhubung dan mereka pernah merancang untuk membuat 'comeback' tetapi masing-masing sibuk dengan komitmen.

"Dua tahun lamanya, kami merancang untuk bergabung semula dan harap-harapnya impian ini jadi kenyataan. Bagaimanapun, buat masa ini kami ada berita gembira untuk peminat kerana akan mengadakan persembahan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada jam 8.30 malam, Isnin ini (15 Disember).

"Ia sangat istimewa kerana kami sudah 23 tahun tidak buat persembahan di khalayak ramai. Ia akan menampilkan anggota asal CRK. Tak ketinggalan, kami juga akan mengundang Atonk, bekas pemain dram Def Gab C untuk mengiringi persembahan CRK pada malam itu," katanya.

Menurut Eddie, mereka akan menyampaikan 10 lagu dalam persembahan ini dan antaranya lagu popular, Cinta Dan Airmata.

"CRK dibarisi oleh pemuzik berpengalaman dan semestinya kami berjanji menampilkan sebuah persembahan yang mampu menghiburkan peminat. Diharapkan peminat hadir beramai-ramai menonton sebagai tanda sokongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:04 AM