ANTARA babak filem OlaBola.
Adam Salleh

“Cina punya wayang, dia satu hero pukul sepuluh orang mati. Itu Cina punya hal! Hindustan sama Tamil, satu lagu nyanyi sepuluh kali tukar baju. Melayu punya wayang dia start dia nangis, last pun dia nangis. Apa dia nangis kita sendiri pun tak tau?” Spontan saja Yusof Chong (Allahyarham) mengajuk cara Datuk Seri Samy Vellu Sangalimuthu bercakap dalam satu persembahan di ibu kota pada 2007.

Bukan saja bekas Menteri Kerja Raya itu jadi sasaran lawak Yusof, malah bekas Presiden Parti Gerakan Malaysia, Tun Dr Lim Keng Yaik (mendiang) yang pelat berbahasa Melayu tidak terkecuali acapkali dijadikan modal oleh Yusof bagi menggeletek hati penonton.

Berdekah kita ketawa, di sebaliknya kita harus berbangga sekalipun bahasa Melayu Samy Vellu dan Lim Keng Yaik tidak cantik, namun amanah yang disandarkan sebagai wakil rakyat mereka sedar untuk berhujah di Parlimen sudah semestinya berbahasa kebangsaan.

Perihal bahasa ini, kembali berapi bagi segelintir penggiat industri filem kita tidak berpuas hati dengan syarat Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28). Festival anjuran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan WHAM (Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia) bakal berlangsung dari 1 hingga 3 September depan, mensyaratkan 70 peratus bahasa Malaysia lalu filem Ola Bola arahan Chiu Keng Guan secara automatik tersingkir daripada merebut trofi kategori Filem Terbaik FFM28.

Bagaimanapun filem terbitan Astro Shaw itu masih boleh lagi masuk gelanggang tapi bagi kategori Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia untuk berentap dengan dua filem Cina; Huat The Fish dan The Kid From The Big Apple serta dua filem Tamil; Jagat dan Maravan.

Ola Bola punya hal, pelawak dan pengarah; Afdlin Shauki dengan lantang memboikot FFM28. Beberapa penggiat filem lain yang ‘sekepala dengan dia’ turut berapi komen di media sosial, lalu timbullah FFM28 dicop rasis. Apakah ada agenda tersembunyi atau krisis peribadi di sebalik kontroversi ini? Sebabnya yang ghairah mengapi-apikan isu ini adalah suku sakat yang mempunyai kaitan dengan penerbitnya.

Lalu pelbagai pihaklah diseret untuk mengupas isu ini dari Tan Sri Tony Fernandez, Datuk Seri Nazir Razak hinggalah ke menteri kerajaan dan pembangkang yang selama ini tidak pernah kita dengar dua tokoh korporat itu memberi komen mengenai filem tempatan.

Nyatalah FFM28 sudah dipolitikkan jika kita berpaling ke filem lain yang bertanding kategori sama tidaklah kalut seperti Ola Bola. Tindakan Afdlin memboikot FFM28 itu hak dia tetapi industri tidak rugi apa-apa, sebabnya karyawan muda itu akan lahir mengantikan Afdlin nanti.

Isu bahasa dalam FFM bukanlah baru jika menghayati kembali slogan Filem Kita Wajah Kita yang diguna pakai Finas dalam beberapa FFM ketika era Datuk Zain Hamzah menerajui Ketua Pengarah. Melaui program bual bicara Fenomena Seni (RTM) pada Januari 2007, Zain yang diundang selaku panel menegur penggiat industri agar menggunakan filem sebagai medium untuk pembangunan budaya dengan menggunakan imej bahasa Melayu tetapi malangnya ketika itu majoriti filem kita tidak tentu arah dengan penggunaan bahasa rojak.

Penggunaan bahasa Melayu dalam filem tempatan nyata lebih dihayati oleh produser Cina dan pengarah India antaranya BS Rajhans, L Krishnan (Tan Sri), S Ramanathan, K M Basker, Phani Majumdar selain B N Rao di awal sejarah perfileman Melayu di Singapura.

Majoriti pengarah ini didatangkan dari India dan antaranya tidak reti berbahasa Melayu tetapi mereka berjaya menghasilkan filem yang 100 peratus menggunakan bahasa Melayu. Menuduh rasis dan membandingkan Chiu Keng Guan dengan Liew Seng Tat, jelas sekali Pengarah Terbaik FFM27 dan Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2015 itu lebih cerdik alam apabila dengan menghasilkan 100 peratus bahasa kebangsaan dalam filem arahannya Lelaki Harapan Dunia. Tidak mustahil Ola Bola lebih menarik jika pengarah itu tidak rasis dengan menjadikan bahasa Melayu minoriti. Mereka yang tidak puas hati boleh juga mencadangkan pada Astro agar menganjurkan festival filem ala Anugerah Skrin.

Di sisi lain semacam ada sumpahan pada FFM. Sejak diambil alih oleh Finas dari EJA (Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia) pada FFM3 (1982), pelbagai kontroversi timbul hinggakan Finas mewujudkan Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) pada 11 September 1985 bagi menyelaraskan FFM ini. Ikutkan masalah selesai, sebaliknya menjadi-jadi. Jika mengimbau Pyanhabib memulangkan trofi dimenangi pada FFM6 (1986) dan terbaru seorang pengarah fotografi membuang dua trofi ke dalam plastik sampah tanda protes.

Sekiranya tidak dianjurkan festival filem, melalak sekampung ditempelak tidak kenang budi karyawan filem. Dianjurkan timbul kontroversi berapi-api. Tata cara dan sikap beginilah persis bak sindiran Samy Vellu yang dijadikan viral, “Ini semua kerja orang gila punyalah, itulah saya punya komen. Sekarang banyak orang sudah gilalah, dia layak untuk masuk Hospital Tanjung Rambutan atau Hospital di Tampoilah!”

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:09 AM