HANYA satu gelaran Mr Universe diraih negara sepanjang ketiadaan Sazali.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Sukan bina badan negara kini mengharungi tempoh mencabar selepas ‘kehilangan’ jaguh terkemuka Sazali Samad akibat penggantungan empat tahun susulan kegagalan ujian doping tahun lalu.

Malaysia gagal meraih sebarang gelaran Mr Universe tahun lalu selain hanya membawa pulang satu gelaran Mr Asia menerusi Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.

Lebih memburukkan keadaan, sukan bina badan tidak terpilih untuk dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Setiausaha Kehormat PBBM Kamaruzaman Kadir mengakui mereka kini mengharungi tahun yang mencabar.

Seramai tujuh atlet dihantar PBBM untuk menggalas cabaran pada Kejohanan Bina Badan Asia di Bhutan yang bermula 30 Ogos hingga 5 September nanti.

“Saya tidak mahu menambahkan tekanan kepada atlet dengan situasi ini (meletakkan sasaran tertentu), semua sudah maklum apa yang berlaku.

“Saya mengharapkan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik demi negara dan diri sendiri,” jelas Kamaruzaman.

Namun jelas beliau, sandaran dan harapan utama adalah kepada Syarul Mahen dalam kategori athletic physique (165sm) untuk mempertahankan kejuaraan diraihnya di Uzbekistan tahun lalu.

“Saya berharap dia mampu mempertahankan gelaran itu. Sukar untuk saya ramalkan peluang enam lagi atlet kerana tidak berkesempatan bersemuka dengan mereka dalam melihat sendiri persiapan yang dilakukan,” tambahnya.

Selain Syarul Mahen, enam lagi atlet yang terpilih ialah Muhd Sabila Abdullah, Muhammad Roszaimi Abd Ghani, Malvern Abdullah, Buda Anchah, Awang Mohd Azizul Abd Ghani dan Mohd Faiz Ariffin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:50 AM