RANGEL (dua dari kanan) diasak pemain Kedah Amirul Hisyam (kanan) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Malam gemilang buat Baddrol Bakhtiar yang menjadi pencetus kemenangan Kedah bagi memastikan langkah ke suku akhir Helang Merah menjadi kenyataan selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 3-2 pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Permainan mula rancak seawal minit ketiga apabila tuan rumah mengundang cemas buat benteng pertahanan pelawat selepas bola hantaran jauh Mohd Irfan Fazail berjaya disambar Che Rashid Che Halim namun rembatan leret pemain itu tersasar.

Tersentak dengan serangan awal tuan rumah, skuad kendalian Tan Cheng Hoe mula mengancam kubu JDT II pada minit kesembilan selepas bola sepakan sudut Mohd Syazwan Zainon singgah di kaki Muhammad Hanif Mat Dhazir namun bola rembatannya melepasi palang gol.

Asakan berterusan Helang Merah membuahkan hasil pada minit ke-13 apabila hantaran lintang Baddrol disambut Shane Smeltz yang melonjak tinggi untuk menanduk sekali gus menewaskan penjaga gol Muhamad Al-Hafiz Hamzah.

Skuad kendalian Benjamin Mora bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-35 menerusi sepakan percuma Paulo Rangel yang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal.

Bagaimanapun, selang seminit kemudian Helang Merah kembali mendahului 2-1 selepas gerakan menarik Baddrol yang bertindak melambungkan bola memudahkan Mohd Syazwan untuk menanduk menewaskan Muhamad Al-Hafiz.

Ketika aksi babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, umpanan menarik Mohd Akram Mahinan membuka ruang buat Zaquan Adha Abd Radzak untuk merembat tepat ke penjuru kanan gol bagi mengikat kedudukan 2-2.

Baddrol tidak menunggu lama sebaik babak kedua bermula apabila menghasilkan gol pertama peribadinya sekali gus meletakkan Kedah selesa 3-2 pada minit ke-56 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 8:58 AM