BOLT berjenaka pada sidang media.
BOLT berjenaka pada sidang media.
AFP

Rio de Janeiro: Usain Bolt berazam mengakhiri pentas Olimpik dengan kejayaan gemilang selepas disajikan dengan tarian separuh bogel samba oleh sekumpulan penari selain sempat ditemubual dalam keadaan penuh mesra.

Pelari pecut Jamaica berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan ketika sidang media pertamanya sejak tiba di Rio de Janeiro, kelmarin dan ini adalah aksi Olimpik terakhir baginya.

Sebaik menaiki pentas di pusat teater Cidade des Artes di Rio - mengarahkan penonton untuk memberikan tepukan - dia tampak begitu bertekad untuk menghiburkan.

“Anda perlu bertepuk tangan lebih kuat, ini terlalu perlahan,” kata Bolt berjenaka.

Suasana di teater terbesar Amerika Selatan itu bagaimanapun tidak sehebat pertunjukannya di padang.

“Saya gemar menghiburkan orang, sebab itu yang membuatkan mereka hadir dan menonton,” kata Bolt.

“Saya cuba membuat orang ramai terhibur dan ia sesuatu yang berbeza. Itu personaliti saya.”

Percubaannya berhasil apabila individu dari Norway bangun pada penghujung media dan berkata: “Saya tidak mempunyai soalan, saya cuma mahu katakan saya sayangkan anda.”

Ia memberi gambaran apa yang sukan olahraga bakal hilang apabila Bolt meninggalkan sukan itu tahun depan selepas Kejohanan Dunia di London.

Bagaimanapun, dia kini perlu memberi tumpuan kepada Olimpik terakhirnya dan berazam memenangi acara 100, 200 dan 4×100 meter untuk tiga temasya berturut-turut kerana mahu kejayaan itu digelar “Treble-Treble.”

“Ini pasti yang terakhir,” kata Bolt ketika ditanya kemungkinan melanjutkan karier hebatnya.

“Sudah cukup apa yang saya lakukan. Sudah berulang kali saya membuktikan kemampuan, ini yang terakhir.”

Bolt bersedia untuk bersara ketika olahraga berdepan dua kontroversi terbesar dalam sejarah sukan iaitu skandal doping Russia dan dakwaan rasuah terhadap bekas pemimpin Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:02 AM