AMNAT
AFP

Rio de Janeiro: Petinju Thailand yang melakar sejarah di Olimpik Rio minggu ini berkata, kehidupannya di penjara sedekad lalu kerana kesalahan merompak pelancong, menjadi pencetus kepada karier sukannya.

Amnat Ruenroeng adalah antara tiga petinju profesional yang dibenarkan beraksi di Brazil dan ia juga buat kali pertama profesional mengambil bahagian di Olimpik.

Atlet berusia 36 tahun itu mencatat kemenangan menerusi kiraan mata, Ahad lalu pada perlawanan pertama kategori lightweight sebelum mendedahkan dia pernah berdepan hukuman penjara 15 tahun.

Mungkin majoriti banduan akan terus melakukan kesalahan jenayah, tetapi Amnat memanfaatkan tempoh itu dengan mempelajari sukan tinju sebelum mewakili penjaranya dalam kejohanan.

“Saya menjalani hukuman penjara satu tahun setengah sebelum Raja Thai memberikan pengampunan,” katanya.

“Kehidupan di penjara banyak mengubah hidup saya. Anda akan lebih berdisiplin dalam mempelajari apa yang betul serta sebaliknya. Buat kali pertama, saya menerima pelajaran dalam erti kata sebenarnya.

“Saya berpeluang mencuba tinju dan bola sepak. Tapi yang penting, penjara menyedarkan saya betapa berharganya keluarga dan rakan-rakan.

“Ia membantu saya untuk lebih fokus dan berfikir dulu sebelum bertindak,” katanya.

Amnat yang mempunyai rekod 17-1 secara profesional dan pernah memenangi gelaran flyweight IBF, dibebaskan dari penjara pada 2007 dan setahun selepas itu melakukan persiapan untuk ke Olimpik Beijing.

Bagaimanapun, dia begitu hampir memenangi pingat sebelum bergelar profesional selepas itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:06 AM