ABDUL Farid (dua dari kanan) bersama Azmir (kanan) menggunakan kad debit untuk membeli makanan di Restoran Mc Donald’s.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Golden Arches Restaurants Sdn Bhd (Golden Arches), pemegang francais induk jenama makanan segera, McDonald’s di Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Malayan Banking Berhad (Maybank) untuk melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai (cashless) di rangkaian restorannya selari dengan visi kerajaan mewujudkan masyarakat ‘cashless’ menjelang 2020.

Pengarah Urusannya, Azmir Jaafar berkata, kerjasama itu salah satu daripada usaha untuk merealisasikan visi terbabit di mana sehingga kini sebanyak 140 rangkaian restorannya di seluruh negara melaksanakan pembayaran itu.

“Kami sentiasa memberi kualiti terbaik melalui makanan dan perkhidmatan disediakan dan kemudahan pembayaran ini menjadikan urusan pembelian lebih mudah serta menjimatkan masa apabila mereka hanya perlu mengimbas kad yang mempunyai ciri ‘Pay Wave’ ketika membeli,” katanya pada sidang media mengenai kerjasama antara McDonald’s dan Maybank di sini, semalam.

Beliau berkata, penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai akan meletakkan negara menjadi lebih pantas dalam mencapai visi terbabit dan kerjasama dengan Maybank akan mengukuh dan meluaskan lagi operasi syarikat di Malaysia

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan pengeluar kad debit, kredit dan pembayaran lain di negara ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi pelaksanaaan pembayaran di semua restoran McDonald’s pada masa depan,” katanya.

Pelanggan tidak dikenakan sebarang tempahan minimum apabila melakukan pembayaran menggunakan kad di rangkaian restoran McDonald’s malah berpeluang menikmati tawaran menarik apabila berbelanja minimum sebanyak RM10.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kerjasama itu mengukuhkan komitmen pihaknya dalam menyediakan kemudahan pembayaran terbaik kepada pelanggan dan menyokong agenda kerajaan dalam mempromosikan pembayaran tanpa tunai di Malaysia.

Menurutnya, Maybank percaya ia berada di kedudukan terbaik untuk memberi platform digital yang dijamin selamat dan selesa kepada McDonald’s dalam usaha meningkatkan pengalaman pelanggan dan memendekkan tempoh pembayaran di restorannya.

Ketika mengulas rancangan McDonald’s Corp yang mahu menjual hak francais McDonald’s bagi restoran di Malaysia dan Singapura, Azmir berkata, perbincangan itu masih lagi dilakukan namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan syarikat itu mahu menjual hak francais itu di mana ia dijangka menjana jumlah sehingga AS$400 juta (RM1.59 bilion) dan sehingga kini, McDonald’s memiliki 260 restoran di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 7:33 AM