Zilah diiringi anggota polis selepas didakwamemberi sokongan danmenggalakkan perbuatan kumpulan pengganas Daish, Julai lalu. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Bekas pengawal keselamatan wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan menggalakkan perbuatan kumpulan pengganas Daish, Julai lalu.

Tertuduh, Zilah Tajuddin,43, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Suhaima Mohd Noor dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan dengan cara menggalakkan perbuatan kumpulan pengganas Daish dan memuat aktiviti-aktiviti kumpulan pengganas itu melalui aplikasi Telegram (kumpulan Tauhid State) di sebuah rumah di Jalan Cenderawasih, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, di sini, pada 4 hingga 17 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan juga boleh dirampas harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas melalui aplikasi, masa serta lokasi yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130G Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun dan denda.

Suhaima kemudiannya menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu pihak pendakwaan memohon izin memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:21 AM