FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan identiti tiga lelaki berkaitan kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong yang masih bebas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, suspek pertama adalah pengarah urusan sebuah syarikat perladangan di Sarawak, Lee Che Kiang, 45, ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Stephan Lee, pembantu peribadi Datuk Stephan Lee, Chin Wui Chung, 50, dan pengusaha sebuah pusat karoke, Kong Sien Ming, 35,

Menurutnya, polis sudah mengeluarkan waran tangkap kepada ketiga-tiga suspek pada 19 Julai lalu.

"Datuk Stephan sudah melarikan diri ke Australia pada 3 Julai lalu, manakala dua lagi suspek dipercayai masih berada di dalam negara," katanya ketika sidang media di Mahkamah Miri hari ini.

Katanya, polis sudah membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), di Australia bagi membantu mengesan Stephan Lee, bagaimanapun, masih belum menerima perkembangan positif.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek boleh menghubungi balai polis terdekat," katanya

Bill Kayong ataupun nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart, Miri pada pagi 21 Jun lalu.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di leher menggunakan senapang patah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 12:27 PM