FOTO ihsan KKM
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Sebanyak 23,453 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara bermula 3 Januari hingga 6 Ogos dengan purata 757 kes dilaporkan seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 17.8 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 19,916 kes dengan purata mingguan 642 kes.

Menurutnya, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 7,471 kes (31.9 peratus) diikuti Sarawak dengan 3,007 kes (12.8 peratus), Johor 2,294 kes (9.8 peratus) serta Kuala Lumpur 2,084 kes (8.9 peratus).

"Kemudian, ia diikuti Sabah 1,535 kes (6.5 peratus), Perak 1,361 kes (5.8 peratus), Pulau Pinang 1,357 kes (5.8 peratus), Melaka 1,198 kes (5.1 peratus), Negeri Sembilan 889 kes (3.8 peratus) dan Kedah 641 kes (2.7 peratus).

"Sementara itu, negeri lain mencatatkan kes HFMD iaitu kurang daripada 500 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi jumlah kes pada minggu ke-31 bermula 31 Julai hingga 6 Ogos lalu, sebanyak 1,885 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara iaitu peningkatan 600 kes (46.7 peratus) berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,285 kes.

Katanya, tiga daerah di Selangor merekodkan bilangan kes tertinggi HFMD iaitu Petaling (2,699 kes), Hulu Langat (1,801 kes) dan Klang (1,023 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 12:28 PM