ANTARA pelajar termuda yang terbabit dalam pementasan ini.
FAUZIAH Nawi hadir memberi sokongan dan berkongsi ilmu.
SESI latihan Teater Muzikal dari kumpulan Sarian Tiana yang diadakan di Taman Melawati.
ANTARA babak menarik ketika latihan Sarian Tiana The Musical.
Syafil Syazwan Jefri


Menjelang 27 Ogos ini, pementasan teater muzikal Sarian Tiana The Musical anjuran Kengkawan Project dan Shafi Vocal Studio (SVS) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan berlangsung bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menariknya, teater ini menampilkan barisan pelakon kanak-kanak yang menjadi pelajar level satu dalam kursus Acting Through Song (ATS) di SVS.

Pemilik SVS dan guru vokal, Shafizawati Sharif atau Cikgu Shafi memaklumkan, pihaknya memilih teater muzikal sebagai wadah untuk kanak-kanak ini berkarya kerana mampu menggabungkan tiga elemen utama yang dirangka dalam kursus ATS.

“Tiga rangka utama adalah nyanyian, tarian dan lakonan. Pada awalnya, pihak kami fikirkan program terakhir yang sesuai sebagai penamat kepada kursus enam bulan ini.

“Akhirnya, kami membuat keputusan memilih teater muzikal untuk kanak-kanak ini mengekspresikan apa yang mereka belajar sepanjang kursus berlangsung,” katanya.

Menurut Shafi, kanak-kanak ini bukanlah terdiri daripada mereka yang berpengalaman.

“Memandangkan mereka adalah pelajar tahap pertama dan kursus ini baru dijalankan, tahap lakonan mereka juga adalah masih asas.

“Namun, kesungguhan semua pelakon patut dipuji kerana mereka bersungguh-sungguh berlatih dan tidak merungut untuk menjayakan teater ini,” katanya.

Katanya, teater sebegini sedikit sebanyak membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam berkomunikasi untuk lebih yakin apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Apa yang dapat saya lihat, sepanjang tiga bulan pertama, mereka sudah mula yakin dan boleh bercakap di hadapan orang ramai.

“Selain itu, perkembangan lain adalah dari segi fokus terhadap pembelajaran. Kalau dulu, mereka sukar menerima apa yang diajar, kini nampaknya semakin mudah memahami,” katanya.

Bercerita mengenai konsep teater ini, Shafi berkata, ia menggabungkan bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Pelakon ini juga perlu menyanyikan beberapa lagu lama dan baru yang dicipta khas untuk teater ini. Antara lagu yang dimainkan adalah I Have A Dream.

“Ada antara lagu itu memerlukan mereka menyanyikan secara berkumpulan, acapella dan secara harmoni. Namun begitu, untuk asas, harmoninya adalah berdua,” katanya lagi.

Sementara itu, pengarah dan penulis skripnya, Fateha Hanif yang juga anak kepada pelakon terkenal Fauziah Nawi berkata, modul yang digunakan dalam mendidik kanak-kanak itu sememangnya berhasil.

“Saya sendiri sejak kecil memang sudah dipupuk menggunakan modul ini oleh ibu saya. Apa yang dapat saya katakan, ia berhasil.

“Kursus ATS bukan sahaja untuk melahirkan kanak-kanak yang minat berlakon dan menyanyi semata-mata, tetapi mampu membantu mereka dalam menjalani kehidupan,” katanya.

Sarian Tiana The Musical mengisahkan mengenai Tiana, hidupan laut yang menetap di dunia lautan. Disebabkan tertarik dengan keunikan manusia yang hidup di darat, Tiana mendapat sarian ajaib dan membawa dua manusia ke dunianya.

Dalam kisah ini, manusia digambarkan sebagai makhluk yang suka melakukan pencemaran. Secara tidak langsung, Sarian Tiana The Musical menyampaikan mesej mengenai penjagaan alam sekitar kepada penonton.

“Secara tak langsung, teater ini mengajak penonton untuk sama-sama peka untuk memelihara alam sekitar,” katanya.

Ditanya sama ada teater ini akan diangkat ke peringkat seterusnya, Fateha tidak menolak sekiranya ada rezeki untuk mereka pergi lebih jauh.

“Insya-Allah kalau ada rezeki kita akan bawa teater ini ke peringkat lebih tinggi. Tetapi, itu tentunya perlu kumpul lebih ramai pelajar daripada pelbagai peringkat,” katanya.

Harapan tenaga pengajar adalah agar ramai yang akan hadir memberikan sokongan kepada pementasan teater yang diadakan secara percuma ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 1:14 PM