HOMMIE1934 tawar penginapan unik persis di rumah yang ringkas dan selesa.
BILIK keluarga yang memuatkan dua dewasa dan dua kanak-kanak.
RUANG mini dipenuhi pokok hiasan sesuai untuk bersantai.
RUANG rehat yang boleh dimanfaatkan untuk menonton televisyen dan membaca buku dengan kemudahan WiFi turut disediakan.
Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


Anda perlu memberi perhatian lebih sewaktu dalam perjalanan menuju ke Jalan Phuah Hin Leong, Georgetown yang agak terpinggir.

Namun, sepanjang deretan kediaman dua tingkat lama itu, ada sebuah inap desa (homestay) baru dibuka.

HOMMIE1934, sebuah kediaman lot tepi bercirikan gabungan moden dan autentik menggamit pengunjung saat terlihat pepohon frangipani yang menghiasi laman homestay berkenaan.

Diusahakan Haminee Moit, 29, dan Wong Juno, 26, ‘kegilaan’ dua sahabat yang sebelum ini gemar melancong akhirnya menjalankan perniagaan inap desa khusus buat pelancong tempatan dan luar negara.

Haminee berkata, idea itu tercetus daripada minat mereka yang suka melancong.

Pada setiap destinasi dikunjungi dari Eropah sehingga ke Australia, mereka dahulunya sama seperti pelancong lainnya menginap di hotel komersial.

“Tetapi apabila menginap di hotel, kami rasa seperti ada satu kekurangan yang tidak begitu jelas pada mulanya. Namun, makin kerap mengembara atau melancong di beberapa negara, kami mula menyedari apa sebenarnya dimahukan. Kami mahukan satu pengembaraan yang dapat menyelami budaya hidup orang tempatan, dapat merasai pengalaman hidup seperti mereka.

“Apabila menginap di hotel, kita sering kali melakukan rutin sama, duduk di dalam dunia kita sendiri tanpa bergaul dengan masyarakat tempatan. Hanya masuk dan keluar bilik selain tidur yang tidak jauh bezanya daripada rutin seharian di rumah. Jadi tiada apa yang mengujakan dalam pengembaraan kalau tiada aktiviti bermanfaat dapat dilakukan,” katanya.

Sejak itu, mereka berpegang kepada prinsip ‘melancong bukan sekadar berseronok, sebaliknya ia pengembaraan, perkongsian dan pembelajaran’.

Dua sahabat ini kemudian mencari tempat yang mempunyai suasana berkonsep ‘home-sharing’ untuk berkongsi lokasi penginapan, budaya dan gaya hidup serta rutin seharian dengan masyarakat tempatan yang pastinya berbeza dan unik bagi setiap tempat dikunjungi.

“Kami mula mengenali budaya seperti ini apabila terdedah dengan penggunaan aplikasi seperti Airbnb - bermula sebagai seorang pelancong di dalam Airbnb, kini kami pula berperanan sebagai hos,” katanya.

Mengenai pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi homestay itu, Juno berkata, sebagaimana diketahui umum Pulau Mutiara menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

Malah, Georgetown beberapa kali dipilih sebagai bandar pilihan pelancong, juga destinasi ideal untuk golongan yang bersara.

Pulau Pinang juga dikenali sebagai syurga makanan, memiliki pelbagai tarikan pelancong dan statusnya sebagai bandar raya pelbagai budaya sehingga dinobat sebagai Bandar Raya Warisan Dunia oleh UNESCO.

Pemilihan nama HOMMIE1934 pula, kata Jono, disebabkan ingin menawarkan kepada pengunjung suasana seperti di rumah sendiri.

“Setiap pengunjung akan datang sebagai ‘hommie’, 1934 pula diambil daripada tahun kediaman ini dibina .

“Bangunan ini dibina sebelum tercetus Perangan Dunia Kedua. Justeru, kami masih mengekalkan seni bina lama. Hanya sedikit pengubahsuaian dilakukan dengan melakukan suntikan elemen kemodenan kerana mahu memberi keselesaan di dalamnya,” katanya.

Setiap pelanggan berpeluang menikmati sarapan popular di Pulau Pinang seperti Roti Canai dan Roti Bakar Jalan Transfer, Nasi Lemak Pengkalan Weld serta Nasi Ayam Sin Nam Huat.

“Kami juga menyediakan ‘aturcara perjalanan’ kepada pengunjung mengikut lapisan umur sama ada yang datang secara berpasangan atau berkumpulan,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penginapan unik dan selesa ini, segalanya ada di www.facebook.com/Hommie1934.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 1:43 PM