TERTUDUH di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seramai 19 lelaki warga negara India dan dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar 266.46 kilogram dadah disyaki ketamin, awal bulan ini.

Sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil, semua 21 tertuduh mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Dua tertuduh warga tempatan, N Ramakrishnan, 40, dan A Herman Kumar Pillai, 27, didakwa bersama Abdul Manaf Kamarudeen, 35; Gireeshlal Nadarajan Santhamma, 41; Nihas Aboul Rahuman, 40; Ajaya Kumar Chandran Pillai Jayalakshmi, 47; Sudheer Kamaludeen, 36 dan Vishnu Mohanan Pillai, 23.

Turut didakwa, Saju Sathyan, 38; Palpandi Mookka Thevar, 34; Ajayan Pushpakaran, 26; Vishnu Raghu, 25; Niyaskhan Abdul Manaf, 22; Ashraful Khalq Naizam, 31; Shafeek Shareef, 34; Suheer Azeez, 31; Manu Mohanan Pillai, 25; dan Jayesh Sasidharan, 30.

Mereka bersama Murali Navakodi, 47; Lam Abdul Vaheed, 30 dan Rashudeen Sayudeen, 30, didakwa dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya iaitu 266.46 kilogram disyaki ketamin dianggar bernilai hampir RM16 juta di kilang JLM Plastic Recycling Trading, 5A, Jalan Haji Saat Batu 14 3/4, Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, 4.10 pagi, 3 Ogos lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil dan peguam V Varunnath mewakili dua tertuduh warga tempatan, manakala yang lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 5:13 PM