AHMAD Bashah Md Hanipah. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) memasang papan tanda amaran bermain aplikasi Pokemon Go di semua masjid di negeri ini dengan segera.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemasangan papan tanda itu selaras dengan keputusan Jabatan Mufti negeri mengharamkan permainan Pokemon, semalam.

Katanya, rumah ibadat agama lain juga boleh berbuat demikian agar tempat beribadat tidak diceroboh oleh pemain Pokemon Go.

"Saya akan mengarahkan pihak bertanggungjawab membuat papan tanda berkenaan dengan segera bagi menyokong ketetapan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kedah.

"Biarpun permainan ini haram tetapi kita tidak boleh menghalang orang bermain Pokemon Go, kerana itu Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak bertanggungjawab perlu segera membuat papan tanda ini supaya tidak menganggu orang sedang beribadat.

"Paling cepat papan tanda ini siap dan boleh dipamerkan akan mengambil masa dua minggu tapi apa yang kita mahu tunjukkan adalah kerajaan negeri mengambil serius perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah kali 141 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Kedah memutuskan permaianan Pokemon Go adalah haram untuk umat Islam kerana dilihat lebih mendatangkan kemudaratan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad dipetik berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada JAIK untuk memasukkan isu permainan Pokemon Go di dalam khutbah Jumaat serta meletakkan papan tanda di kawasan masjid sebagai kawasan larangan untuk bermain Pokemon Go.

Ahmad Bashah berkata, keputusan mengharamkan permainan itu perlu mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat ia daripada dimuat turun oleh masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri sangat berharap SKMM dapat melakukan sesuatu bagi menyekat aplikasi itu daripada dimuat turun oleh masyarakat terutama umat Islam kerana dibimbangi memudarat dan melalaikan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 6:58 PM