MANGSA maut selepas dilanggar kereta dipandu datuknya. FOTO Rosli Ilham
MANGSA maut selepas dilanggar kereta dipandu datuknya. FOTO Rosli Ilham


Chukai: Bayi maut dilanggar kereta dipandu datuknya di depan rumah di Taman Darul Iman, Bukit Kuang di sini, 8.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, Ahmad Syawal Anaqi Ahmad Fadzi, 1, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman 11.56 pagi.

Menurutnya, mangsa dipercayai merangkak keluar dari rumahnya menerusi pintu hadapan tanpa disedari datuknya yang berusia 59 tahun ketika masuk ke dalam keretanya.

Katanya, datuk mangsa terus menghidupkan enjin keretanya sebelum kenderaan itu bergerak dan terdengar bunyi melanggar sesuatu.

"Datuk mangsa kemudiannya berhenti dan apabila keluar dari kenderaannya didapati cucunya terbaring dan berdarah di kepala.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudiannya dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 7:18 PM