AHMAD Shabery memberi makan lembu ketika melawat ladang ternakan lembu di Ladang Satelit Nasional Kampung Semerbok.Turut hadir Hasim Rusdi (kanan). FOTO Bernama
Khairul Najib Asarulah Khan


Rembau: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan lembu sempena Aidiladha bulan depan mencukupi untuk menampung permintaan di seluruh negeri.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dianggarkan 30,000 lembu dan 24,000 kambing akan dikorbankan sempena perayaan itu, bulan hadapan.

Beliau berkata, mengikut stastistik yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), stok bekalan lembu dan kambing pada September ini masing-masing 39,000 dan 40,000 ekor.

"Kita yakin bekalan mencukupi untuk menampung permintaan. Sebahagian lembu diimport lebih awal antaranya dari Australia dan Thailand oleh syarikat pembekal sah," katanya selepas mengadakan lawatan di Ladang Satelit Nasional di Kampung Semerbok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr Awaluddin Said.

Ahmad Shabery berkata, terdapat 26 rumah sembelih DVS di semenanjung dan kerajaan sudah mengeluarkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban untuk dijadikan panduan dengan mengambil kira aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 7:33 PM