Ramlan (kiri) dibawa keluar selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya atas dua pertuduhan menipu dua mangsa berhubung pembelian Toyota Wish. FOTO Ahmad Irham
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu dua mangsa berhubung pembelian MPV Toyota Wish.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Ramlan Amir Man, 46, didakwa menipu Mek Nas Mat Jusoh, 58, dengan memperdaya untuk membeli MPV Toyota Wish bernilai RM30,000 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM29,500 sebagai bayaran pembelian kereta itu.

Untuk pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan antara 8 Februari 2011 hingga 22 Februari 2012 di Medan Selera Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu Rosli Md Aris, 59, dengan memperdaya mangsa membeli MPV yang sama bernilai RM35,000 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM35,000 bagi pembelian MPV itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan antara 16 April 2011 hingga 25 Mei 2011 di Kedai Runcit Linor, Presint 16 di sini.

Kedua-kedua pertuduhan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan dendan.

Berikutan itu, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman memerintahkan tertuduh diikat jamin RM14,000 serta menetapkan tarikh 9 September untuk sebutan semula bagi melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 12:48 PM