Siti Salmiah A Hamid


Sekali imbas, tiada yang istimewa dengan 'mesin rumput' ini. Bagaimanapun, jika dilihat dengan teliti, robot pemotong rumput ini menggunakan kuasa solar dan digerakkan menggunakan alat kawalan jauh (remote control).

Baterinya pula boleh dicas sama ada menggunakan kuasa solar atau melalui soket elektrik.

Tidak hairanlah, robot diberi nama Smart Lawn Mower ciptaan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Petaling Jaya ini menerima anugerah 'Outstanding International BTEC Student of the Year 2016'.

Majlis berprestij yang diadakan di Royal Horticultural Halls, London, pada 7 Julai lalu itu menyaksikan seorang daripada penciptanya, Mu’az Abdul Karim, 21, menjadi pelajar pertama dari Asia Tenggara merangkul anugerah itu selepas mengalahkan 800 calon dari seluruh dunia.

BTEC atau Business and Technology Education Council ialah satu sistem akreditasi pendidikan antarabangsa berteraskan kepakaran teknikal.

Mu’az dipilih menerima anugerah itu berikutan kecemerlangan akademik dan kejayaannya merangkul pelbagai anugerah inovasi di dalam dan luar negara. Smart Lawn Mower sebelum ini juga menang pingat emas di Eureka Innovation Exhibition.

Apa yang menarik mengenai Smart Lawn Mower ialah ia membolehkan orang ramai memotong rumput dari jarak jauh umpama bermain kapal terbang atau kereta kawalan jauh.

Selain mengemas dan merapi rumput di laman rumah atau padang bola, Smart Lawn Mower boleh dijadikan permainan yang dapat menggalakkan orang ramai mewujudkan laman rumah yang cantik.

Robot pemotong rumput berinovasi ini tidak memerlukan bateri pada badannya tetapi pergerakannya dikawal menerusi peranti ‘joypad’.

“Setiap bahagian pada robot mesin rumput itu ada fungsi tersendiri. Panel solar digunakan sebagai alternatif kepada bekalan kuasa, tayarnya jenis ‘mecanum’ yang memiliki pelbagai variasi kepada gerakan robot.

“Konsep memotong rumputnya sama dengan mesin pemotong rumput sedia ada dengan memasang bilah (pemotong) di bawah rangka robot.

“Ciri keselamatan turut diutamakan bagi mengelakkan kemalangan atau kerosakan terhadap mesin ini dengan pemasangan sensor di bahagian depan. Jika mengesan ada halangan di hadapan, ia akan berhenti serta-merta,” kata Mu’az.

Menurutnya, pembinaan Smart Lawn Mower dilakukan hasil kerjasamanya bersama rakan sepasukan, Mohamad Shafiq Salim dan Ahmad Zaid Md Zainal.

“Dua pensyarah KKTM Petaling Jaya, Hasrulnizam Hashim dan Norkamal Affandi Shahudin banyak membantu kami serta yakin robot ini memiliki banyak kelebihan berbanding pesaing lain,” katanya.

Membesar dalam keluarga berpendidikan yang memberi sokongan penuh terhadapnya membuka peluang pada anak muda dari Dungun, Terengganu ini mencapai minat dan cita-citanya.

Meskipun mendapat tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma di sebuah universiti awam di Pahang, tiga tahun lalu, dia bertekad memilih KKTM PJ kerana jurusan yang ditawarkan memenuhi minatnya.

KKTM PJ satu-satunya kolej di Malaysia yang menawarkan kursus Pearson Business and Technology Education Council (BTEC) Level 5 Higher National Diploma (HND) Kejuruteraan Elektronik (GCF).

Uniknya, hanya kursus itu ditawarkan di kolej berkenaan, sekali gus membolehkan penuntutnya saling bersaing dalam bidang pengajian sama.

Tidak hairanlah Mu’az cukup bersemangat untuk bersaing dengan rakan sekelas mencipta teknologi masa kini terutama robot sehingga membolehkannya memenangi anugerah itu.

Bakat dan minat mendalam berkaitan robotik membuatkan dia mempertaruhkan pelbagai idea dan inovasi dalam beberapa pertandingan robot peringkat tempatan dan antarabangsa.

Berikutan pencapaiannya cemerlang, tidak hairanlah dia sering memenangi anugerah dan medal termasuk pingat perak Pameran Teknologi & Inovasi, Reka Cipta Antarabangsa (ITEX’15) menerusi Smart Lawn Mower; pingat emas Anugerah Khas Kategori IPT dalam Pameran Penyelidikan Inovasi Perintis (AIREx 2015) menerusi Mecanum Robot Pelbagai Guna; pingat emas Pameran Inovasi Eureka (EIE 2015) menerusi Smart Lawn Mower serta pingat perak Ekspo Penyelidikan & Inovasi UTeM (UTeMEX 2015) juga menerusi Smart Lawn Mower.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 3:04 PM
RAKAN dan pensyarah yang banyak membantu (dari kiri) Ahmad Zaid, Mohamad Shafiq, pensyarah di KKTM PJ Norkamal Affandi dan Hasrulnizam serta Mu’az.
BAHAN elektronik yang digunakan untuk membina robot pemotong rumput.
SMART Lawn Mower memenangi pingat perak ketika menyertai pertandingan Inovasi iCompEx 2015.