ROKOK yang dirampas dan suspek yang ditahan. FOTO ihsan PPM Sabah
ROKOK yang dirampas dan suspek yang ditahan. FOTO ihsan PPM Sabah
Junaidi Ladjana


Tawau: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau memintas sebuah bot laju bukan sahaja berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok seludup bernilai RM117,684 malah menyelamatkan nyawa tekong dan kru bot berkenaan dalam kejadian di perairan laut Icebox, dekat sini, malam tadi.

Komander PMM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, sepasukan PPM Tawau sedang menjalankan rondaan Op Paradise dan terserempak dengan sebuah bot laju bergerak dari arah Sungai Nyamuk Indonesia, menuju ke Tawau dalam keadaan mencurigakan lalu mengejarnya.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong dan seorang kru bot membuang beberapa kotak ke laut sebelum memecut laju bot dinaiki mereka.

"Selepas hampir 15 minit mengejar bot laju itu, PPM berjaya menahan namun tiada sesiapa berada di atas bot itu dipercayai bertindak terjun ke laut bagi mengelak ditahan," katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata, ketika pemeriksaan dijalankan tiba-tiba terdengar suara meminta tolong lalu bot ronda PPM menghampiri dan menyelamatkan tekong dan seorang kru bot terbabit.

"Tekong bot warga tempatan berusia 38 tahun dan krunya warga Filipina berusia 58 tahun bersama barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjinnya RM217,684 dan rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 3:31 PM