BERNAMA

Kuala Lumpur: Operator perkhidmatan teksi tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan Uber dan GrabCar beroperasi secara sah.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Aslah Abdullah berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak memikirkan kebajikan pemandu ketika mengesyorkan langkah itu.

"Kalau nak tingkatkan perkhidmatan teksi, sepatutnya SPAD perlu adakan perbincangan dengan operator teksi sebelum membuat pembaharuan," katanya mengulas keputusan Kabinet Rabu lalu, yang meluluskan Uber dan GrabCar beroperasi secara sah.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah membentangkan kertas kerja mengenai Uber dan GrabCar.

Aslah berkata, kehadiran Uber dan GrabCar di negara ini berpunca daripada penguatkuasaan SPAD yang "tidak mantap dan lemah".

Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail pula berkata, kerajaan membuat keputusan itu secara tergesa-gesa tanpa meneliti terlebih dahulu implikasinya terhadap industri teksi negara.

"Keputusan ini membuatkan kami (pemandu teksi) jadi tak gembira ...kami menyatakan 'bukan sekarang'... jangan hanya kerana segelintir pemandu teksi bermasalah, kerajaan terus membuat keputusan ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili 800 pemandu teksi daripada syarikat itu menggesa kerajaan menyelesaikan isu teksi terlebih dahulu sebelum membenarkan Uber dan GrabCar beroperasi secara sah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 10:57 PM