KETUA Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar (kanan) bertukar dokumen dengan Mohd Zamree pada majlis MoU, semalam.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) optimis dapat memberi pembiayaan keseluruhan RM4 bilion tahun ini yang memberi manfaat kepada 8,650 usahawan tempatan dalam pelbagai industri di Malaysia walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Tahun lalu, syarikat perlindungan jaminan itu meluluskan pembiayaan RM3.4 bilion berbanding unjuran asal RM3.2 bilion memandangkan terdapat pelbagai projek utama negara yang sedang dilaksanakan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, setakat separuh pertama tahun ini, CGC telah meluluskan sekitar RM2.2 bilion kepada usahawan tempatan dan optimis menerusi rekod enam bulan pertama 2016, itu CGC mampu mencapai sasaran meluluskan sebanyak RM4 bilion tahun ini.

Beliau berkata, CGC turut membantu usahawan Bumiputera memperkenalkan Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i atau TPUP-i yang mana sejak ia diperkenalkan pada 2009 sehingga kini sejumlah RM850 juta telah diberikan kepada golongan berkenaan.

“Kita menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan RM220 juta tahun ini kepada 103 usahawan Bumiputera yang mempunyai kredibiliti dan mempunyai potensi besar untuk terbabit dalam pelbagai projek mega pada masa depan.

“Malah, ketika ini, kita juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi membantu kontraktor Bumiputera yang layak mendapatkan akses pembiayaan melalui projek jajaran MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di bawah penyeliaan MRT Lembah Klang,” katanya pada majlis MoU yang disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Menerusi kerjasama itu, CGC menyasarkan untuk memperuntukkan pembiayaan bernilai RM100 juta daripada jumlah kontrak bernilai RM900 juta yang diperuntukkan di bawah pakej Bumiputera melalui projek MRT jajaran dua berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mohd Zamree berkata, kerjasama dengan MRT Corp membuka peluang bagi sub-kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan pembiayaan bagi menjalankan kerja-kerja kontrak dalam projek yang membabitkan pembinaan rangkaian pengangkutan awam berasaskan rel dan projek rel sedia ada seperti Sistem Aliran Ringan (LRT), Monorel dan KTM Komuter.

“Pada peringkat awal kerjasama ini, GCG menjadi pembiayaan pilihan bagi kontraktor Bumiputera G1 dan G4 di bawah projek MRT Jajaran 1.

“Kami juga membantu kira-kira 12 kontraktor Bumiputera untuk menjalan dan menyiapkan projek dengan menyediakan pembiayaan melalui TPUB-i,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:03 AM