Erywan Norshal


Dua dekad selepas kemunculan sulung Porsche Boxster, kini model itu kembali dengan enjin-pertengahan generasi baharu yang dinamakan 718 Boxster dan 718 Boxster S.

Panggilan 718 diambil daripada jentera perlumbaan ikonik yang dilahirkan pada 1953 selepas memenangi lebih 1,000 pertandingan sekitar 1960-an.

Kini ia ditawarkan dengan enjin empat silinder baharu yang mana kapasiti 2.0 liter turbo untuk 718 Boxster dan 2.5 liter turbo bagi 718 Boxster S sekali gus mampu memberikan prestasi serta kuasa yang lebih dinamik berbanding generasi sebelumnya.

Bagi model 718 Boxster, ia menyalurkan 300hp dengan peningkatan 35hp berbanding sebelum ini, selain tork mencecah sehingga 380Nm.

Ia lebih pantas apabila boleh memecut 0-100 kilometer sejam (km/j)dalam hanya 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 275km/j.

Berbeza dengan model 718 Boxster S apabila mampu memecut antara 0-100km/j dalam 4.2 saat dengan kelajuan maksimum adalah 285km/j. Kelajuan serta prestasinya berbeza berikutan enjin 2.5 liter menghamburkan 350hp dengan tork setinggi 429Nm.

Namun, bagi pasaran negara ini ia dilengkapi transmisi PDK tujuh kelajuan sebagai ciri standard.

Biarpun ia sebuah jentera berprestasi, tahap penggunaan bahan apinya masih pada tahap optimum dengan memberi penjimatan sehingga 13 peratus.

Reka bentuknya mudah dikenali apabila bahagian hadapan mempunyai penampilan lebih luas dan maskulin.

Ia turut dilengkapi reka bentuk baharu lampu bi-xenon dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS) yang disepadukan lampu siang LED.

Dari pandangan sisi, ia boleh dikenal pasti menerusi garisan baharu serta ruang saluran masuk udara dengan dua sirip untuk menekankan imej dinamik kereta berkenaan.

Ia juga dilengkapi dengan rim 19 inci bagi model 718 Boxster S atau boleh memilih roda diameter 20-inci sebagai pilihan.

Ruang dalaman dinaik taraf membabitkan papan pemuka serta dilengkapi Pengurusan Komunikasi Porsche sebagai ciri standard.

Ciri itu memudahkan kemudahan penggunanya untuk sambungan telefon pintar, selain berfungsi sebagai navigasi.

Harga jualan 718 Boxster bermula daripada RM480,000 dan 718 Boxster S daripada RM620,000 yang mana kedua-duanya ditawarkan dengan tempoh jaminan empat tahun serta pakej penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:04 AM
PORSCHE 718 Boxster.