Skip this ad x
MENU Fish & Chips, ringkas tapi menyelerakan.
SPAGETI bolognese, antara hidangan istimewa Beby Bakery & cafe.
WAN Mohamed Najmee menunjukkan menu Itali yang ada di Beby Bakery & Cafe.
WAN Mohamed Najmee (kanan) melayan Nor Affendy dan Dam menikmati hidangan disediakan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Ringkas tapi kaya dengan rasa. Itulah yang dirasa tatkala masakan Itali yang dicuba penulis ini masuk ke mulut. Apakan tidak, di sebalik hidangan kelihatan ringkas ini, ia langsung tidak kurang dengan rasa. Malah, boleh dikatakan rasanya lebih hebat berbanding dengan menu ditawarkan hotel atau restoren mewah lain.

Itu keistimewaan menu masakan Barat dari Itali ditawarkan Beby Bakery & Cafe yang terletak di Kondominium Putra Villa, Taman Melati, Kuala Lumpur ini.

Biarpun tidak banyak menu ditawarkan, jangan panik. Ini kerana, menu sedia ada ini sudah cukup untuk membuatkan anda kenyang serta berpuas hati dengan apa yang anda makan.

Lebih berbaloi lagi, setiap menu ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu tidak melebih RM10 mengikut satu-satu jenis hidangan.

Malah, secara peribadi menu yang penulis makan ini antara menu Itali terbaik pernah dirasa di ibu kota dan cukup menyelerakan.

Pemilik Beby Bakery & Cafe, Zukhria Beby Agustiani berkata, sengaja pihaknya menyediakan menu dalam jumlah terhad berikutan ingin menjaga kualiti dan rasa makanan yang disediakan.

“Di sini kami hanya menyediakan kira-kira 20 menu termasuk menu ringan seperti kentang goreng, nuget tempura, pencuci mulut seperti sizzling brownies dengan ais krim, ais krim burger serta kek.

“Menu berat pula seperti lasagna, spageti bolognese, potato gratin dan pai ayam. Ringkas, tapi sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berasa kenyang,” katanya.

Zukhria yang mempunyai ijazah dalam bidang penyediaan makanan dan kulinari berkata, setiap resipi berkenaan adalah hasil percubaan dia bersama suami, Wan Mohamed Najmee Wan Mohamed yang sama-sama membantu mengurus dan mencari menu terbaik mengikut resipi asal penyediaan daripada Itali.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan. Kepuasan ini pula adalah dalam bentuk rasa makanan itu.

“Buat apa ada menu yang banyak tapi rasanya tidak seberapa. Lagipun, matlamat kami adalah untuk menyediakan hidangan ringkas, cepat tapi sedap kepada pelanggan. Alhamdulillah, matlamat ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Melengkapkan lagi hidangan mereka, Beby Bakery & Cafe turut menyediakan pelbagai jenis kopi yang dikisar sendiri seperti kopi americano, capucino, ekspreso spesial, kopi latte dan kopi hitam.

Biji kopi pula menggunakan jenis kopi merah putih, sidi kalang dan kopi Sumatera yang dibawa khas dari Indonesia. Bagi penggemar kopi, anda pasti akan dapat merasai perbezaan kopi ini yang kaya dengan rasa kopinya.

Masakan Itali ‘lima bintang’

‘Lima bintang’. Itulah rating diberikan bekas pelumba kebangsaan negara, Nor Affendy Rosli dan pelumba basikal profesional dari Australia, John Dam mengenai rasa masakan Itali yang disediakan Beby Bakery & Cafe.

Bagi Nor Affendy yang jarang memilih menu masakan Barat berikutan lebih sebati dengan menu masakan Melayu, hidangan yang disediakan di kafe berkenaan memang cukup menyelerakan dan boleh diterimanya.

“Terus terang masakan Barat ini memang bukan pilihan saya. Biarpun dulu saya pernah berlatih dan duduk lama di luar negara, lidah saya tetap mencari masakan Melayu atau setidak-tidaknya nasi. Sebabnya bila makan terasa cepat muak.

“Tapi tak sangka pula di sini saya boleh makan menu Barat disediakan kafe ini. Tidak saja kerana rasanya yang sedap, tapi jumlahnya sudah cukup untuk membuatkan tersandar kekenyangan,” katanya.

Sementara itu, Dam yang datang ke negara ini bagi menyertai perlumbaan Junior Cycling Malaysia (JCM) di Johor berkata, menu disediakan memang setanding dengan hidangan Barat di restoran terkenal yang ada di negaranya.

“Ini kali kedua saya ke Malaysia dan tak sangka pula, kafe begini mampu menyediakan menu Barat sesedap ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:04 AM