Cik Pang

Sebaik tersebar cerita mengenai pasangan hangat bercinta, Fattah Amin dan Sherry Ibrahim berpisah, bertebaranlah juga pelbagai dakwaan akan punca mengapa mereka tidak lagi bersama.

Sedangkan sebelum ini, sebaik Sherry mengambil keputusan untuk berhijab, ramai teman media dan peminat sudah berkira-kira akan tarikh pernikahan mereka yang berkemungkinan semakin hampir.

Tapi siapalah kita mahu melawan takdir. Bukankah jodoh dan pertemuan itu ketentuan Allah. Walau pedih dan sakit macam mana pun, kita harus menerima jalan takdir ditentukan.

Cuma apa yang Cik Pang hendak bercerita ini, membabitkan beberapa spekulasi yang ditimbulkan orang keliling membabitkan punca Fattah dan Sherry memutuskan hubungan cinta mereka.

Perkara ini bertiup kencang apabila Fattah dan Sherry membuat keputusan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan hinggalah tiba masa yang sesuai.

Ada yang menyampaikan kepada Cik Pang, sebenarnya Fattah sudah lama mahu memutuskan hubungan dengan Sherry kerana tidak tahan dengan sikap dramatis itu yang didakwa kuat cemburu dan terlalu mengongkong.

Waktu sama ada pula yang berkata, sebenarnya dakwaan Fattah itu hanya alasan kerana beberapa bulan lalu dia semakin akrab dengan Mira Filzah.

Mendengarkan perkara itu, sumber yang menyampaikan cerita tidak berani pula mahu menyatakan adakah Mira Filzah punca Fattah dan Sherry putus cinta.

Dia menyatakan kemungkinan Fattah dan Mira Filzah mempunyai hubungan istimewa kerana keakraban yang wujud antara mereka.

Lebih-lebih lagi apabila Fattah yang kini membuka syarikat pengurusan artis, Myfastyle Creative Sdn Bhd, menarik Mira Filzah untuk bernaung di bawah syarikat miliknya.

Apapun yang berlaku dan kalau benarlah Fattah bercinta dengan Mira Filzah, Cik Pang anggap ia satu ketentuan. Kadang-kadang soal hati ini tidak mampu untuk ditelah. Jangan pula ada yang menuding dan menuduh Mira merampas Fattah daripada Sherry.

Kalau benar kita sayang, belajarlah untuk melepaskan. Kalau dia sudah memang milik kita, percayalah dia akan kembali dengan sendirinya. Jika sudah takdirnya kita tidak lagi bersama, didiklah hati untuk reda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:09 AM