PEMAIN Kedah Farhan Roslan (kiri) melolosi bola sambil dihalang pemain Titans Hasbullah Awang (dua dari kiri).
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Kedah mensia-siakan peluang aksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada T-Team pada perlawanan peringkat Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman, malam tadi.

Keputusan itu mengakibatkan Kedah kini menduduki tangga kedua kumpulan, di belakang T-Team dan kedua-dua pasukan dibezakan dengan kelebihan jaringan.

Penjaga gol T-Team Muhd Ilham Amirullah muncul wira pasukannya apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah.

Kedah mula menyerang ke kubu lawan seawal minit kedua namun tolakan Rizal Ghazali ke dalam kotak penalti terlalu kuat menyebabkan penyerang import Kedah Smeltz Shahe Edward gagal menyambut bola itu.

Kedah nyaris menjaringkan gol pada minit kelima namun tendangan kencang Liridon Krisniqi tepat ke dakapan Muhd Ilham.

Selepas cubaan itu, kedua-dua pasukan buntu mencari gol dan permainan banyak berlegar di tengah padang.

Cubaan penyerang pelawat Patrick Dos Santos Crus untuk meloloskan diri ke gawang tuan rumah turut gagal apabila hanya beberapa kali dapat melepaskan tendangan dari luar kotak penalti.

Tuan rumah terus menggandakan asakan ke kubu lawan pada separuh masa kedua dan nyaris menjaringkan gol minit ke-47 namun sepakan Krasniqi ditepis penjaga gol.

Smeltz Shahe yang mencuri bola daripada pemain T-Team yang cuba membawa keluar bola ke tengah padang namun sepakan lemahnya minit ke 48 berjaya ditangkap Muhd Ilham.

Namun, tindakan Mohd Rizal Ghazali yang mengasari pemain pelawat mengundang padah apabila dia dilayangkan kad kuning dan T-Team yang beroleh sepakan percuma, berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-58.

Pemain T-Team Maiga Abdoulava Youssouf mudah menanduk masuk bola ke gawang tuan rumah hasil sepakan percuma yang diambil Makan Konate.

Tersentak dengan gol itu, tuan rumah terus melakukan serangan bertali arus melalui beberapa percubaan berbahaya namun gagal menerjah jaring pelawat hasil kecekapan Muhd Ilham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:18 AM