KUALA LUMPUR 11 JANUARY 2016. Sebahagian murid yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah. NSTP/EMAIL​
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Kerajaan mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberi perkhidmatan bas sekolah percuma kepada anak penghuni projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa kementerian diminta melaksanakan pemilikan semua projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara secara sewa beli tanpa deposit

Beliau berkata, langkah itu sebagai inisiatif kerajaan bagi menangani kemiskinan bandar dan mengurangkan beban penduduk bandar.

"Saya dengan ini mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) laksanakan sewa beli projek PPR tanpa deposit.

"Bagi anak-anak PPR, saya arahkan diadakan perkhidmatan bas sekolah percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Lembah Pantai di Grandball Room Nexus di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung UMNO; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 3:30 PM