MARGARET (tengah) pada pelancaran AmorePacific Malaysia dan pelancaran kaunter pertama Mamonde.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: AmorePacific Corporation (AmorePacific), anak syarikat pengeluar kosmetik dari Korea Selatan, AmorePacific Group merancang menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran produk untuk rantau Asia Tenggara melalui pembinaan kilangnya di Iskandar Puteri, Johor.

Pengurus Besar AmorePacific Malaysia Sdn Bhd (AmorePacific Malaysia), Margaret Chin berkata, pihaknya melabur sebanyak RM600 juta untuk pembinaan kilang itu dengan RM500 juta diperuntukkan bagi pemasangan mesin dan peralatan manakala selebihnya digunakan untuk tujuan pembinaan infrastruktur.

“Pada masa ini, kerja pembinaan kilang masih di peringkat awal dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 yang mana fasiliti ini akan berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran bersepadu produk kami,” katanya pada sidang media AmorePacific Malaysia dan pelancaran kaunter pertama jenama Mamonde di sini.

AmorePacific adalah peneraju pasaran kosmetik di Korea dan ke-12 di dunia dengan mengeluarkan 30 jenama produk termasuk lima jenama global iaitu Sulwhasoo, Laneige, Mamonde, Etude, and Innisfree selain turut menerokai pasaran antarabangsa di beberapa negara lain seperti Jepun, China, Eropah Amerika Utara, Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Beliau berkata, AmorePacific turut merancang menerokai rangkaian pembekalan bagi produknya di rantau Asia Tenggara bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan menjadikan ASEAN antara penyumbang penting kepada pertumbuhan syarikat pada masa depan.

“Kami melihat langkah ini adalah penting kepada aktiviti perluasan global kami memandangkan tidak semua siri produk AmorePacific yang berada di Korea Selatan ditawarkan di negara Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, AmeroPacific Malaysia menjangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan perniagaan sebanyak 30 peratus pada setiap tahun melalui kemasukan lebih banyak produk AmorePacific di pasaran tempatan.

Margaret berkata, Mamonde adalah jenama keempat AmorePacific yang memasuki pasaran Malaysia dan ia dijangka mampu memacu pertumbuhan syarikat melalui keunikan konsep jenama dan harga berpatutan yang ditawarkan sekali gus membantu dalam menguasai pasaran di negara ini.

“Kami menyasarkan untuk menambah cawangan daripada sebuah sehingga kini kepada 15 di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Mamonde menawarkan kira-kira 140 produk daripada 32 kategori produk membabitkan penjagaan kulit, solekan, penjagaan tangan dan lain-lain di mana sehingga kini ia berada di pasaran Amerika Syarikat, China, Thailand, Malaysia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 7:03 AM