ELAINE pintas rakan senegara dengan catatan 10.71 saat.
AFP

Rio de Janeiro: Elaine Thompson melakar era baru atlet pecut Jamaica apabila merangkul kemenangan dalam acara 100 meter wanita sekali gus menamatkan penguasaan lapan tahun Shelly-Ann Fraser-Pryce di Olimpik.

Elaine, 24, bermula dengan baik dan melepasi garisan penamat dengan catatan 10.71 saat, menumbuk ke udara sebelum memeluk rakan sepelatih Shelly-Ann sejurus selepas menamatkan aksi 100m.

Tori Bowie dari Amerika Syarikat meraih perak dengan catatan 10.83s manakala Fraser-Pryce terpaksa berpuas hati di tempat ketiga 10.86s.

Selepas tamatnya perlumbaan semalam, Elaine mendedahkan dia tidak pernah bermimpi dapat menewaskan Shelly-Ann, bintang Jamaica yang meraih emas pertama dalam acara 100m pada 2008.

“Saya begitu mengaguminya dan tidak pernah terfikir akan berada di sini,” kata Elaine.

“Apabila saya melepasi garisan penamat, menoleh di sebelah saya dan melihat tiada sesiapa, saya tidak tahu bagaimana untuk meraikannya,” katanya.

“Terdapat satu skrin besar di kampung halaman saya di Jamaica. Saya tidak boleh bayangkan apa yang berlaku di sana sekarang.”

Impian Fraser-Pryce, 29, yang mengharapkan kejayaan hatrik dalam acara 100m selepas meraihnya pada 2008 dan 2012 tidak kesampaian dengan Elaine mengesahkan dirinya selaku pelari pecut wanita terbaik Jamaica ketika ini dengan kejayaan mengagumkan.

“Apa yang paling membuatkan saya gembira adalah gelaran 100m masih kekal milik Jamaica,” kata Shelley-Ann yang berlumba dengan gaya rambut diwarnakan dengan warna kebangsaan Jamaica,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:34 AM