Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Video pendek yang menceritakan kisah perpaduan kaum dan semangat patriotisme di negara ini cuba ditonjolkan dalam ‘Projek Video Malaysia’ (PROVIM 2016).

Terbuka kepada warganegara Malaysia, PROVIM 2016 adalah pertandingan menghasilkan video pendek bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan serta menghayati kepentingan perpaduan kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Ia dianjurkan Jabatan Berita & Ehwal Semasa Media Prima Berhad, MPB (Bahagian Berita Digital).

Pengarang Urusan Kumpulan, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah berkata, sebagai pengamal media, ia menjadi tanggungjawab sosial korporat untuk menyemai semangat patriotisme serta memupuk perpaduan kaum bersempena sambutan bulan kemerdekaan serta meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

“Tujuan kami menganjurkan pertandingan ini ialah untuk memupuk semangat perpaduan dan patriotisme di kalangan generasi muda. Semangat nasionalisme serta menyayangi antara satu sama lain adalah kunci kepada kejayaan Malaysia selama ini dan akan tetap menjadi pra syarat untuk kita terus mengharungi cabaran akan datang.

"Anak-anak muda yang akan menyahut cabaran ini memerlukan semangat nasionalisme dan patriotisme yang utuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, orang ramai boleh menghantar penyertaan video pendek berdurasi maksimum tiga minit melalui emel [email protected] dalam format MP4 dan ia akan dimuat naik melalui Facebook Berita MPB seperti Buletin TV3, Berita TV9, NTV7edition dan 8TV Mandarin News.

Menurutnya, ia akan diadili berdasarkan jumlah ‘like’ di Facebook serta oleh juri profesional dengan setiap penyertaan perlu disertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, sinopsis video pendek, emel dan nombor telefon yang boleh dihubungi. Tarikh tutup penyertaan pada 12 tengah hari 31 Ogos 2016.

Mohd Ashraf berkata, video pendek yang membawa mesej bermakna serta menyentuh hati masyarakat mengenai perpaduan dan semangat cintakan Malaysia akan disenarai pendek dan diumumkan menerusi berita utama rangkaian televisyen MPB seperti Buletin Utama, Berita TV9, NTV7edition dan 8TV Mandarin News pada 31 Ogos ini.

Katanya, pemenang bagi hadiah utama video pendek akan diumumkan pada 16 September bersempena sambutan Hari Malaysia.

Selain itu, pemenang bakal menerima hadiah utama RM8,000, RM5,000 (kedua), RM3,000 (ketiga) serta lima lagi hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM1,000.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Buletin TV3, Berita TV9, NTV7 7edition dan 8TV Mandarin News melalui #provim2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 7:37 PM
ORANG ramai boleh menghantar video pendek berdurasi maksimum tiga minit untuk menyertai PROVIM 2016.