ANGGOTA Bomba mengangkat mayat yang ditemui berhampiran sungai. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Pesakit mental yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu, ditemui mati di tebing sungai berhampiran sekolah di Rahang di sini, hari ini.

Lelaki berusia 41 tahun terbabit dikatakan keluar rumah sejak Khamis lalu dan ibunya membuat laporan polis mengenai kehilangan itu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mayat mangsa ditemui orang awam sebelum dilaporkan kepada polis, 9.48 pagi.

"Hasil pemeriksaan forensik mendapati mayat terbabit sudah kembung dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu. Namun, siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata.

"Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk bedah siasat. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sehingga laporan analisa oleh Jabatan Kimia diperoleh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 7:48 PM