Antara barangan dirampas daripada suspek.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman tahan enam individu dipercayai along yang menggunakan kekerasan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang di Ipoh, Perak, petang semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani berkata, suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun itu juga dipercayai terbabit dengan kegiatan kongsi gelap Geng 77.

"Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Risikan JSJK Bukit Aman dan Perak dalam operasi yang bermula 11 pagi, semalam, di sekitar Ipoh.

"Antara barangan yang dirampas adalah enam kereta, 13 telefon bimbit, komputer riba dan 61 kad ATM dipercayai milik mangsa," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dikenal pasti sudah beroperasi sejak tujuh tahun lalu dengan menjalankan kegiatan pinjaman secara terancang dan sistematik.

"Modus operandi sindiket berkenaan adalah memberikan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar faedah pinjaman tujuh hingga lapan peratus sebulan kepada peminjam.

"Kebanyakkan peminjam terdiri daripada ahli perniagaan," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam catatan Twitter beliau malam tadi, mengucapkan tahniah terhadap kejayaan JSJK Bukit Aman dan Perak atas tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 9:59 AM