SKUAD recurve negara, Khairul Anuar (kiri), Haziq (tengah belakang) dan Muhammad Akmal (dua dari kanan) tiba KLIA dari Rio, Brazil.
Azlan Muhammad Zain


Sepang: Ketua jurulatih memanah negara Lee Jae-hyung bertegas tidak akan meletakkan jawatan susulan kegagalan trio pemanah negara di Olimpik Rio minggu lalu.

Trio memanah negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin gagal mempamerkan persembahan cemerlang apabila terkandas awal dalam acara individu dan berpasukan.

Situasi berkenaan dilihat memberi tekanan kepada Jae-hyung yang mula membimbing skuad negara sejak 2001, malah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi berkenaan selain Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

Bagaimanapun Jae-hyung yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rio semalam, bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.

Sebaliknya ketua jurulatih dari Korea Selatan itu bersedia untuk bersama Malaysia sehingga Olimpik Tokyo, empat tahun lagi walaupun kontraknya berakhir Disember tahun depan.

“Saya sedia mempersiapkan atlet untuk menghadapi Olimpik Tokyo. Orang akan bercerita di luar sana, namun adakah mereka membantu kita? Mereka tidak pernah membantu, hanya Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Malah saya pernah digesa dipecat pada 2005.

“Bagi saya prestasi di Rio tidak terlalu teruk cuma persediaan tidak dapat dilakukan sebaik Olimpik London kerana mereka lewat layak, menerusi kejohanan terakhir di Turki pada Jun lalu.

“Kita turut mempunyai pemanah baru ke Olimpik. Masa latihan semuanya berjalan lancar namun situasi di Olimpik berbeza dengan pemanah terbaik dunia juga boleh tewas mengejut,” jelasnya.

Sejak mula membimbing skuad negara, Jae-hyung membantu sukan memanah layak ke empat Olimpik berturut-turut dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir London 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:25 AM