FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Lebih 80 kementerian dan agensi kerajaan sudah bergabung tenaga untuk mewujudkan penyelesaian berimpak tinggi untuk memenuhi keperluan semasa sepanjang tujuh tahun pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan menerusi NBOS berjaya mengubah sistem penyampaian kerajaan.

Katanya, satu contoh yang paling ketara adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kini menjadi lokasi paling popular dalam kalangan rakyat menyelesaikan urusan harian.

"Ia dibuktikan dengan 35.5 juta orang ramai mengunjungi 15 UTC di seluruh negara dalam tempoh antara Jun 2012 hingga Julai lalu.

"Malah, pembukaan UTC dalam bangunan sedia ada mampu menjimatkan wang kerajaan iaitu RM100 juta bagi setiap satu atau RM1.5 bilion untuk keseluruhan 15 UTC ,"katanya.

Beliau ketika demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk Transformasi Negara Melalui Kreativiti dan Inovasi pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Strategi Lautan Biru sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Raja Mswati III dari Swaziland, Presiden Republik Nauru Baron Waqa; Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-O- Cha; Naib Presiden Republik Maldives Abdullah Jiha; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, satu lagi contoh pelaksanaan sumber yang cekap adalah NBOS antarapihak polis dan tentera terutama untuk menjaga keamanan negara menerusi rondaan bersama, serta melakukan latihan bersama menggunakan kemudahan sedia ada di kem tentera.

"Seramai 7,400 anggota yang sebelum ini melakukan kerja pengkeranian kini sudah ditugaskan di lapangan, dan tempat mereka diganti dengan penjawat awam dari jabatan lain.

"Kita tidak mengambil kakitangan baharu, tetapi menggunakan sumber tenaga sedia ada, dan langkah itu membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM1.3 bilion,"katanya.

Beliau berkata, kerjasama polis dan tentera dalam bidang latihan juga turut memberi penjimatan sekitar RM700 juta kerana tidak perlu membina pusat latihan baharu.

"Di sini, kita dapat lihat sendiri bagaimana prinsip NBOS dapat memberikan kesan yang besar, kos rendah dan pelaksaan lebih cepat.

"Strategi Lautan Biru bukan sahaja untuk negara membangun, tetapi untuk semua negara dan terpulang kepada mereka bagaimana untuk melaksanakannya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 11:23 AM