ANGGOTa penguatkuasa AADK membuat pemeriksaan terhadap individu disyaki terbabit penyalahgunaan dadah ketika Ops Cegah 17/2016 di kawasan Padang Besar. FOTO ihsan AADK
Aizat Sharif


Padang Besar: Dua ibu tunggal yang tinggal di rumah usang di Batu 20, Jalan Padang Besar ditahan anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis setelah didapati positif mengambil dadah, hari ini.

Dalam Ops Cegah 2.30 pagi tadi,wanita berkenaan yang masing-masing berusia 26 tahun ditahan selepas anggota AADK menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan penagihan dadah di rumah itu.

Operasi itu diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa Operasi AADK Perlis, Mohd Hafiz Suhaili.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, ketika diserbu kedua-dua wanita yang pernah berkahwin itu dalam keadaan khayal dipercayai baru lepas 'melepaskan gian' di rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik serta kemudahan asas yang lengkap.

"Berdasarkan maklumat, seorang wanita berkenaan didapati tinggal berasingan dengan suaminya manakala rakannya pula baru sahaja diceraikan suami.

"Malah, apa yang menyedihkan adalah ketika serbuan terdapat tiga kanak-kanak berusia antara setahun hingga empat tahun tinggal bersama mereka, dipercayai anak kepada seorang daripada wanita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya lagi, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek bagaimanapun memberikan kerjasama ketika ditahan dan mereka dibawa ke Pejabat AADK Perlis Utara utuk tindakan dibawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 7:34 PM