Oleh Redzuan Muharam

Pasir Gudang: Putera Fathullah Fahmi Abdul Hakim iaitu kanak-kanak berusia setahun enam bulan yang menderita akibat penyakit hati kronik meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, malam tadi.

Putera Fathullah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, pada kira-kira 1 tengah hari semalam.

Ibunya, Siti Nur Hidayah Shaari, 20, berkata anaknya itu menghembuskan nafas terakhir pada 10.50 malam tadi.

Jenazah kemudian dimandikan dan disembahyangkan di Surau Perjiranan 8, Taman Air Biru, Pasir Gudang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini pada 10 pagi tadi.

Penderitaan kanak-kanak itu pernah dilaporkan Harian Metro beberapa hari lalu kerana memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan segera.

“Saya reda dengan pemergian anak dan berdoa supaya dapat bertemu dengannya di syurga. Walaupun anak tidak memberi sebarang tindak balas, saya lihat air matanya mengalir namun Allah SWT lebih menyayanginya,” kata Siti Nur Hidayah, ketika ditemui di rumahnya di Perjiranan 8, Taman Air Biru.

Siti Nur Hidayah berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan kesihatan anaknya selain menghulurkan sumbangan barangan keperluan dan wang.

Menurutnya, memandangkan anak tunggalnya itu sudah meninggal dunia, dia berhasrat mendermakan sebahagian sumbangan diterima kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Sejak kisah Putera Fathullah Fahmi dipaparkan di Harian Metro, banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan dan sehingga kini kutipan terkumpul sudah mencecah RM100,000.

Kalau boleh, saya memang mahu menggunakan wang itu bagi menanggung kos pembedahan Putera Fathullah Fahmi tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

“Bagaimanapun, sumbangan itu tidak akan disia-siakan kerana saya akan mendermakan sebahagiannya kepada kanak-kanak serta individu senasib arwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:05 PM