GAMBAR yang dirakam dari udara ini menunjukkan satu kawasan hutan yang terbakar di Riau.

Pekanbaru: Kebakaran hutan dan belukar kembali berlaku di daerah Rokan Hilir di Riau apabila pihak berkuasa mengesan hampir 20 hektar kawasan yang dipercayai sengaja di bakar untuk tujuan pertanian.

Jurucakap pasukan petugas khas pemadam api Indonesia, Henri Alfiandi berkata, tinjauan dari udara menunjukkan kawasan itu sengaja dibakar.

“Dari udara jelas kawasan ini sudah dibersihkan yang menunjukkan ia memang sengaja dibakar,” katanya kepada portal berita Detik.com, semalam.

Katanya, pasukan pemadam api sejak Ahad lalu melakukan operasi ‘water bombing’ bagi memadamkan kebakaran di Desa Rantau Bais di Tanah Putih, Rohil.

“Akibat cuaca yang panas, api kembali merebak dan kami terpaksa meneruskan operasi ‘water bombing’,” katanya.

Menurutnya, lokasi kebakaran sukar dijangkau pasukan darat kerana tiada laluan untuk ke kawasan terpencil itu.

“Kawasan kebakaran ini juga sukar untuk mendapatkan sumber air, satu-satunya cara adalah pemadaman melalui udara,” jelasnya.

Henri juga mengecam segelintir penduduk yang tetap menggunakan kaedah pembakaran sebagai jalan pintas untuk membuka tanah pertanian.

“Individu ini harus segera ditangkap dan dikenakan tindakan tegas sebelum masalah menjadi semakin tidak terkawal,” tegasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:07 AM