SIRI kedua jelajah Bas Drama Sangat TV3 dan TV9 tamat hujung minggu lalu dapat sambutan luar biasa.
SIRI kedua jelajah Bas Drama Sangat TV3 dan TV9 tamat hujung minggu lalu dapat sambutan luar biasa.
Najiy Jefri


Siri kedua jelajah Bas Drama Sangat TV3 dan TV9 bagi tahun 2016 melabuhkan tirainya hujung minggu lalu selepas menjelajah empat lokasi di Pahang.

Program berlangsung di Dataran Raub, Dataran Temerloh, Dataran Jam Nadi Kota, Jengka dan Dataran Laman Kerayong, Bera itu mendapat sambutan luar biasa apabila dibanjiri lebih 27,000 peminat.

Program berkenaan disertai lapan artis daripada empat drama iaitu Raja Afiq, Niena Baharun dan Reen Rahim (Sayangku Kapten Mukhriz), Ruhainies dan Azrel Ismail (Menantu Ting Tong), Fadlan Hazim (Kahwin Muda) serta Syazwan Zulkifly dan Puteri Aishah (Cinta Roller Coaster).

Sama seperti siri pertama jelajah di Selangor dan Perak Mei lalu, acara kali ini membawakan konsep sama iaitu peminat berpeluang beramah mesra dengan artis di samping pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung bertuah menerusi acara permainan pentas.

Pengunjung sanggup berpanas dan bermandi peluh menunggu selebriti pujaan masing-masing dengan membawa pelbagai kain rentang, poster dan hadiah.

Ada peminat tegar yang setia mengekori bas Drama Sangat ke Pahang dari Kuala Lumpur semata-mata mahu turut serta menjelajah bersama bintang pujaan mereka. Malah, ada di antara mereka yang menunggu di lobi hotel tempat artis dan kru menginap untuk bergambar.

Menariknya, sepanjang perjalanan ke setiap lokasi, rombongan membabitkan pihak media, artis dan kru ini diselitkan dengan pelbagai jenis permainan yang menghiburkan.

Di dalam bas juga, artis bergilir-gilir mengendalikan sesi interaksi secara langsung bersama peminat di laman Facebook dan Twitter.

Sesi pertama di Dataran Raub Jumaat lalu cukup meriah. Biarpun bermula lambat, peminat setia menanti hingga penghujung acara manakala 20 pemenang bertuah diraikan pada malamnya selepas menjuarai peraduan #TekaSangat dan #ManaBasNi di Instagram TV3.

Hari kedua, aktiviti sedikit berbeza apabila sesi ramah mesra lebih kepada riadah dan sukan. Barisan artis bangun seawal jam 6.30 pagi untuk ke lokasi kedua iaitu Dataran Temerloh, Pahang. Antara aktiviti yang diadakan adalah Mega Zumba Drama Sangat.

Pada sebelah petang, jelajah Bas Drama Sangat diteruskan di Dataran Jam Nadi Rakyat, Bandar Tun Abdul Razak Jengka dan sambutan kali ini lebih meriah.

Dianggarkan lebih 12,000 peminat hadir. Belum sempat barisan selebriti turun, peminat seakan ‘histeria’ mengerumuni Bas Drama Sangat.

Pada hari terakhir, rombongan Bas Drama Sangat menuju ke Dataran Laman Kerayong Bera dipenuhi peminat yang sudah menunggu dua jam lebih awal.

Biarpun terpaksa bangun awal, peminat yang hadir teruja dapat bertentang mata dengan selebriti pujaan mereka. Sepanjang hampir lima jam berada di sana, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukan rakyat dan pertandingan memasak bubur paling kreatif.

Artis teruja kongsi pengalaman

Berkampung selama tiga hari di lokasi terbabit memberikan pengalaman berbeza bagi setiap artis yang mengambil bahagian.

Tambahan pula, kebanyakannya pertama kali menyertai acara ini.

Bagi pelakon utama Sayangku Kapten Mukhriz, Raja Afiq, pengalaman bertemu peminat di Pahang sangat bermakna untuknya.

“Saya gembira dapat berjumpa dan beramah mesra dengan peminat. Rakan artis lain yang turut serta dalam program ini juga sangat ‘sporting’.

“Saya hargai kesungguhan peminat yang sanggup berpanas semata-mata mahu berjumpa dan bergambar dengan saya. Biarpun sekejap sahaja di setiap lokasi sehingga ada yang menangis ketika kami mahu pulang, saya cuba manfaatkan peluang itu sebaiknya. Sebolehnya tidak mahu seorang pun terkecuali dan berkecil hati tetapi ia di luar kawalan kami,” katanya.

Lain pula Puteri Aishah apabila dia berasa bimbang jika tiada siapa mengenalinya kerana masih baru dalam bidang lakonan.

“Mulanya gementar juga memikirkan mereka kenal saya atau tidak. Alhamdulilah, sambutan sangat positif dan ia buat saya rasa lega.

“Saya tidak sangka menerima banyak hadiah daripada peminat. Paling menarik perhatian saya ketika menerima anak patung daripada peminat di lokasi ketiga,” katanya.

Bagi Azrel Ismail, acara terbabit mendekatkan lagi dirinya dengan peminat.

“Seperti rakan artis yang lain, saya juga pertama kali turut serta di acara ini. Ini langkah terbaik bagi setiap pelakon mempromosikan drama masing-masing di samping dapat beramah mesra dengan peminat.

“Sejujurnya saya berasa terharu apabila terpaksa meninggalkan mereka. Kalau boleh saya mahu meluangkan masa lebih lama bersama mereka kerana aktiviti sebegini jarang sekali dapat dilakukan memandangkan masing-masing sibuk dengan rutin kerja harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 12:28 PM