Gandingan V Shem-Wee Kiong serta Peng Soon-Liu Ying berada dalam landasan terbaik raih pingat emas badminton. FOTO NSTP
Team Metro Online


Kuala Lumpur: Akan berjayakah dua beregu badminton menyumbang pingat emas Olimpik pertama negara, sebaris dengan negara jiran, Thailand, Vietnam dan Singapura yang sudah pun meraih pingat emas mereka di Rio?

Semangat juang demi negara, kekuatan mental serta keyakinan menjadi penentu dan semestinya doa rakyat Malaysia untuk meraih pingat emas yang lama diimpikan pada temasya sukan berprestij dunia itu.

Olimpik Rio 2016 memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama dalam sejarah temasya sukan berusia 120 tahun itu bermula dengan pasangan beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying malam ini diikuti beregu lelaki Goh V Shem dan Tan Wee Kiong esok.

Malah, Datuk Lee Chong Wei juga memburu impian sama dalam acara perseorangan lelaki pada temasya itu dan harapan juga masih ada untuk Pandelela Rinong.

Kejayaan pasangan beregu campuran negara melangkah ke final sesuatu mengejutkan kerana sejak badminton dipertandingkan Olimpik 1992 di Barcelona beregu campuran negara tidak pernah sampai tahap sejauh sebagaimana dilakukan di Rio.

Peng Soon dan Liu Ying selaku ranking ke-11 dunia menumbangkan pasangan keenam dunia Xu Chen-Ma Jin dari China dengan straight set 21-12, 21-19.

Peluang beregu lelaki negara memiliki peluang cerah selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia Yong Dae Soong Yoong untuk ke separuh akhir, menumpaskan pasangan China, Chai Biao-Hong Wei 21-18, 12-21, 21-17.

Rio bukan saja menjadi medan terbaik malah peluang terakhir Chong Wei mendapat pingat emas pada penampilan terakhirnya di Olimpik.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yakin Chong Wei akan mendapat emas.

Selasa depan, Pandelela yang menyumbang perak bersama Cheong Jun Hoong bagi acara 10m platform seirama masih berpeluang menyumbang pingat dalam acara 10m platform individu selepas sekadar meraih gangsa di Sukan London 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 5:10 PM