Badlisham (dua, kanan) mencuba mesin Trendy County sambil diperhatikan Kamil (kiri).
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Eyeport Sdn Bhd (Eyeport), syarikat pengurusan platform beli-belah inovatif memperkenalkan kedai automatik dikenali Trendy County yang memberi kemudahan kepada pengguna dengan pembelian mudah, menyeronokkan, cepat dan boleh didapati sepanjang masa.

Pengarah Urusannya, Jasvinder Singh berkata, kedai automatik yang mengaplikasikan teknologi mesin layan diri itu menawarkan produk aksesori telefon, barangan fesyen dan kecantikan serta mainan Lego yang dijual pada harga antara RM10 hingga RM299.

“Perbezaan kedai automatik ini daripada mesin layan diri tunai lain adalah ia memiliki skrin sentuh dengan paparan besar dan dilengkapi teknologi realiti maya (augmented reality) serta ciri dan kebolehhubungan dengan media sosial,” katanya pada perasmian Trendy County di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. Hadir sama, Pengerusi Eyeport, Tunku Kamil Ikram Tunku Tan Sri Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya yakin kedai automatik Trendy County itu mampu mencetuskan fenomena baru di pasaran meskipun mesin layan diri bukanlah sesuatu yang baru di pasaran.

Menurutnya, platform itu mampu mengubah persepsi umum bahawa mesin layan diri hanya menjual produk asas bernilai rendah ekoran fungsi mesin yang terhad.

“Kedai automatik ini bukan hanya ditempah khas mengikut saiz dan jenis produk dijual, malah ia beroperasi menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) direka khas jurutera tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 7:04 AM