ANTARA daripada warga asing yang ditahan semasa Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen menggempur warga asing di Komdominium Suria Kinrara Puchong. FOTO FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
ANTARA daripada warga asing yang ditahan semasa Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen menggempur warga asing di Komdominium Suria Kinrara Puchong. FOTO FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seramai 66 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Putrajaya di Suria Kinrara, Puchong jam 11 malam hingga 1.30 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 53 lelaki dan 13 wanita antaranya Nigeria (19); India (16) manakala, selebihnya ialah dari lain-lain negara.

"Mereka yang ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 153 warga asing dan penahanan merekadipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain membabitkan akta imigresen.

"Pemeriksaan ini adalah langkah berterusan dilaksanakan Jabatan Imigresen bagi memastikan pendatang asing tanpa izin diusir dari negara ini sekaligus mengelakkan sebarang kemungkinan terbabit dengan kesalahan lain misalnya, menyalahgunakan pas pelajar," katanya kepada pemberita pada operasi berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Datuk Jaafar Mohamed.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyelidupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Semasa operasi berkenaan, seorang warga asing Afrika patah kaki kiri selepas terjun dari tingkat enam ke tingkat empat kerana mahu mengelak dicekup penguatkuasa.

Operasi itu dilaksanakan dengan seramai 259 kekuatan serta turut membabitkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:55 AM