DUTERTE
DUTERTE
Agensi

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam berkata, kerajaannya bersedia berdepan dengan sebarang siasatan berkait dengan kematian ratusan suspek dadah selepas kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mengenai pembunuhan tanpa bicara.

Hampir 600 suspek dadah dibunuh dalam operasi polis sejak Duterte menjadi presiden enam minggu lalu, kata polis.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi berkata, jumlah itu lebih 1,000.

“Kami bersedia untuk disiasat di depan mana-mana pihak. Tetapi jangan salahkan kami jika ada penjenayah lain yang melakukannya. Perang terhadap dadah akan diteruskan sehingga kami berjaya memusnahkan punca penagihan dadah di seluruh negara,” katanya ketika berucap di ibu pejabat polis Filipina.

Ketua panel Senat mengenai keadilan dan hak asasi manusia, Senator Leila de Lima akan memulakan siasatan awam minggu depan berhubung pembunuhan yang ada kaitan dengan dadah, termasuk memanggil pegawai kanan polis dan antinarkotik untuk memberi keterangan mengenai kempen itu.

Terdapat laporan polis membunuh suspek dadah yang masih bergari di dalam penjara, kata peguam hak asasi.

Polis berkata, mereka tidak akan bertolak ansur dengan salah laku anggotanya , tetapi mengaku sebahagian mangsa ditembak mati oleh polis kerana dendam.

“Saya sendiri yang mengarahkan kempen memerangi dadah dan akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian yang berlaku,” kata Duterte.

Duterte memenangi pilihan raya Mei lalu dengan ikrar untuk menghapuskan jenayah dan dadah. Dia baru-baru ini menyebut nama 160 pegawai, polis dan hakim dalam kempen ‘dedah dan malu’ sebagai usaha untuk menghentikan perdagangan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 10:32 AM