Keadaan motosikal ditunggang mangsa. FOTO ihsan pembaca
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Penunggang motosikal yang terlanggar anjing parah selepas terjatuh dan dilanggar kereta di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh di sini, 6.50 pagi tadi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa, Muhammad Sabri Suboh, 27, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian menuju ke tempat kerjanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Abdul Rahman Yahya Zikri berkata, setibanya di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak seekor anjing yang melintas di jalan berkenaan.

"Ia mengakibatkan lelaki itu terjatuh dan dilanggar pula sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

"Mangsa dilaporkan cedera di anggota badan dan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut. Anjing berkenaan mati di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut kemalangan itu masih dijalankan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 1:19 PM