Zainol (tengah) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas di kondominium di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, 16 Ogos lalu. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki serta merampas dadah syabu bernilai RM400,000 dalam serbuan di kondominium di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, 16 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 54 tahun terbabit ditahan di kawasan parkir kondominium berkenaan jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas sebuah kereta Range Rover yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 1 Jun 2014.

"Pemeriksaan selanjutnya di dalam kondominium mewah itu menemui lebih empat kilogram dadah disyaki syabu disorok di ruang tamu dan ketuhar.

"Polis turut merampas pistol tiruan, dua alat penimbang digital, alat menghisap syabu, dua bilah parang dan komputer," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 5:25 PM