Che Kak Idris maut, van dipandu kemalangan dengan kereta di Jalan Baru Kulim Baling -Grik berdekatan Batu Tujuh Kampung Balik Angin, Kuala Ketil, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Safuri Kamarudin

Baling: Lelaki maut selepas van dipandunya terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Baru Kulim Baling -Grik berdekatan Batu Tujuh Kampung Balik Angin, Kuala Ketil, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, mangsa Che Kak Idris, 51, dari Jalan Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang dalam perjalanan dari Baling ke Kulim sebelum bertembung dengan kereta Proton Satria Neo dari arah Kulim ke Baling dipandu seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki terbabit memotong kenderaan lain namun tidak sempat mengelak apabila van dipandu mangsa datang dari arah bertentangan sebelum berlaku pelanggaran.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa tersepit sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia pada 12.10 tengah malam tadi.

"Pemandu kereta terbabit juga parah dan dirawat di HSAH.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 5:52 PM