JAE Hyung (kiri) dan Khairul ketika beraksi di Rio.
JAE Hyung (kiri) dan Khairul ketika beraksi di Rio.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) menjelaskan prestasi ketua jurulatih memanah negara Lee Jae-hyung sememangnya dinilai secara berkala.

Penilaian berkenaan akan menentukan tindakan lanjut membabitkan kedudukannya dalam membimbing pemanah negara.

“Seperti jurulatih lain di bawah Program Podium (kendalian ISN), prestasi Jae-hyung juga dinilai secara berkala. Sebarang status atau keputusan terhadap kedudukannya tertakluk kepada reviu prestasi ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN Dr Khairi Zawi.

Beliau mengulas kedudukan Jae-hyung yang mempunyai kontrak sehingga Disember tahun depan, susulan prestasi mengecewakan pemanah negara di Olimpik Rio.

Malaysia kecundang pusingan pertama acara berpasukan dengan hanya Khairul Anuar Mohamad melangkah ke pusingan kedua acara individu.

Pada masa sama, Khairi menjelaskan ada beberapa sasaran penting untuk skuad memanah tahun depan.

“Sasaran ini turut menjadi pertimbangan bagi skuad memanah selain prestasi di Olimpik Rio baru-baru ini.

“Secara relatif, saya lebih berpendirian prestasi pemanah di Olimpik mengikut kelompok ranking dunia mereka.

“Mungkin kelihatan hambar dari segi keputusan secara kasar namun sebenarnya apa yang berlaku mereka tidak berjaya mencipta ‘kejutan’,” tambahnya.

Pengendali dari Korea Selatan itu mula membimbing skuad negara sejak 2001 dengan melonjakkan pemanah negara mara ke pentas Olimpik, bermula 2004 Athens namun pencapaian terbaik pemanah negara adalah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:46 AM